SUKAN > BERITA

SAMBUTAN HARI OLIMPIK SEDUNIA SECARA BESAR-BESARAN TINGKAT KESEDARAN PARIS 2024 - NORZA

06/06/2024 07:05 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bakal menyambut Hari Olimpik Sedunia pada 23 Jun ini secara besar-besaran untuk meningkatkan keterujaan menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024 bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata sambutan berskala besar dapat meningkatkan kesedaran rakyat untuk memberikan sokongan padu buat Kontinjen Malaysia pada temasya terbesar dunia itu, terutamanya dalam mencapai misi pingat emas pertama.

Selain di ibu negara, sambutan kali ini juga akan diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim. 

"Kita akan mengadakan program besar-besaran di UPSI, iaitu larian dan memperkenalkan Tabung Pendidikan MOM yang memberi peluang kepada atlet-atlet muda kita melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dan seterusnya. 

"Selalunya adakan kolaborasi skala kecil, tapi kali ini mengadakan secara besar besaran. Sebelum ini kita pernah adakan sambutan Hari Olimpik di Pulau Pinang dan Sekolah Sukan Bukit Jalil, namun kali ini lebih bermakna kerana bersekali dengan sambutan Olimpik Paris 2024," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Kira Detik 50 Hari Temasya Paris 2024 di sini hari ini.

Setakat ini 18 atlet negara telah mengesahkan kelayakan ke Olimpik kali ini, manakala beberapa lagi dijangka meraih slot menjelang bulan depan. 

Sementara itu, Mohamad Norza mengulangi pendiriannya bahawa semua pihak harus mengurangkan kerisauan terhadap kemampuan atlet negara.

"Mereka telah mencapai misi pertama untuk melayakkan diri, misi seterusnya adalah berjuang untuk pingat yang memerlukan sokongan daripada semua pihak kerana mereka sedar bahawa mereka sampai ke sana bukan sekadar penumpang. 

"Pingat untuk negara boleh datang daripada mana-mana atlet, sebab itu kita kena kurangkan kerisauan, serta memberi sokongan padu dari segi khidmat sokongan, apa yang tak cukup, dan yang paling penting doa daripada semua," katanya. 

 -- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan