SUKAN > BERITA

GOLF: GAVIN LAYAK KE OLIMPIK BUAT KALI KETIGA

18/06/2024 05:39 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Pemain golf profesional Malaysia Gavin Green melayakkan diri buat kali ketiga berturut-turut ke Olimpik selepas berjaya menempatkan dirinya dalam kalangan 60 pemain terbaik dunia. 

Atlet berusia 30 tahun itu mendapat tempat di Paris 2024 yang akan membuka tirai bulan depan selepas menduduki tangga ke-53 dalam Ranking Golf Olimpik (OGR) yang dikemas kini hari ini.

Pada penampilan sulungnya di temasya itu di Rio 2016, Gavin menamatkan saingan di tempat ke-47 manakala di Tokyo 2020, beliau terikat di kedudukan ke-57 bersama Rafael Campos dari Puerto Rico. 

Sementara itu, pemain golf wanita negara Ashley Lau turut dilihat berpeluang untuk melakukan debut Olimpik di Paris setelah menduduki tempat ke-49 dalam OGR sebelum tarikh akhir kelayakan ke Olimpik, 24 Jun ini.

Pada temasya itu, sukan golf akan dipertandingkan di Le Golf National di Yvelines melibatkan 120 pemain bermula 1 hingga 10 Ogos.

"IGF (Persekutuan Golf Antarabangsa) menggunakan Ranking Golf Dunia untuk menghasilkan OGR sebagai kaedah menentukan kelayakan. Pemain pada ranking 15 terbaik dunia akan layak untuk Olimpik, dengan had empat pemain dari sesuatu negara.

"Lewat 15 terbaik, pemain akan layak berdasarkan ranking dunia, dengan maksimum dua pemain yang layak dari setiap negara yang belum mempunyai dua atau lebih pemain dalam senarai 15 terbaik," menurut IGF.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan