SUKAN > BERITA

TERBUKA INDONESIA: DUA BEREGU NEGARA KE SEPARUH AKHIR, ZII JIA KANDAS

07/06/2024 11:00 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 7 Jun (Bernama) -- Dua gandingan beregu negara menempah slot ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2024 manakala dua lagi pasangan beregu dan dua pemain perseorangan negara terkandas.

Dalam aksi di Istora Senayan itu, beregu campuran profesional negara yang berkedudukan pada nombor 21 dunia Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dengan mudah menumpaskan pilihan kelapan kejohanan Kim Won Ho-Jeong Na Eun dari Korea Selatan 21-8 dan 21-19.

“Set pertama sukar tapi kita ambil kesempatan mengutip mata. Pada set kedua dapat saingan hebat sebab mereka sudah dapat rentak. Kita fokus teruskan momentum esok,” kata Tan ketika ditemui media selepas perlawanan.

Pada separuh akhir, mereka akan berdepan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China, pasangan nombor lima dunia yang menang ke atas beregu senegara Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 21-17, 11-21 dan 21-16.

Beregu lelaki dan pasangan nombor 20 dunia Man Wei Chong-Tee Kai Wun juga meneruskan rentak cemerlang dengan menewaskan Lu Ching Yao-Yang Po Han dari Taiwan 21-17, 18-21, 21-10 dan akan bertemu pasangan tuan rumah Sabar Karyaman Gutama dan Moh Reza Pahlevi Isfahani.

Sementara itu,  pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia gagal ke separuh akhir selepas tumpas kepada Kunlavut Vitidsarn dari Thailand.

Zii Jia terpaksa akur dengan ketangkasan juara dunia 2023 itu apabila mudah ditundukkan 16-21 dan 17-21 dalam tempoh 53 minit.

“Keputusan tadi sememangnya mengecewakan. Kunlavut mempunyai pertahanan yang baik dan sukar untuk mengalahkannya,” kata Zii Jia yang mahu segera melupakan perlawanan itu dan fokus kepada Terbuka Australia.

Seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao turut ditunjukkan jalan pulang apabila tewas kepada juara Sukan Asia Li Shi Feng dari China 11-21 dan 12-21.

Beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah turut menamatkan saingan di kejohanan berkenaan setelah tewas kepada lawan masing-masing.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan