SUKAN > BERITA

ADAMAS ‘KEJAR’ ATLET LENGKAPKAN MODUL KHAS OLIMPIK

10/06/2024 09:16 AM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) sedang berusaha ‘mengejar’ atlet negara yang layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris melengkapkan modul khas temasya sukan terbesar dunia itu seperti terkandung dalam Anti Doping Education and Learning (ADEL).

Selain meminta atlet menjalani kursus doping secara fizikal di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, Pengarah ADAMAS Azura Abidin berkata pihaknya juga menggerakkan usaha menggalakkan mereka yang berlatih di luar negara untuk melengkapkan modul tersebut secara dalam talian.

Beliau berkata bukan sahaja atlet, malah jurulatih serta pegawai sokongan sukan terlibat pada Paris 2024 juga digalakkan melengkapkan modul dalam ADEL yang diiktiraf Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

“Kami telah menggerakkan usaha dengan memohon bantuan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan MSN meminta atlet menjalani modul khas Olimpik ini sejak April lepas.

“Selepas tamat menjalani modul Sukan Olimpik, mereka termasuk atlet terlibat perlu menduduki ujian bagi menguji tahap pemahaman dan perlu lulus dengan 85 markah sebelum diberikan sijil manakala data diperoleh daripada ujian tersebut akan disatukan di peringkat WADA,” katanya kepada Bernama.

Walaupun tiada tempoh spesifik ditetapkan pihaknya utuk melengkapkan modul tersebut namun Azura menaruh harapan tinggi agar ia dapat disudahkan mereka yang terlibat termasuk atlet seelok-eloknya sebelum berlepas ke Paris.

“Kalau boleh kita mahu mereka siapkan awal (sebelum ke Paris) jadi mereka boleh tumpukan dengan pertandingan di sana,” katanya.

Beliau berkata modul khas Olimpik dalam ADEL penting bagi atlet untuk menambah ilmu mengenai doping termasuk akibat penggunaan bahan terlarang dan membantu mereka bersiap siaga dengan situasi sekiranya dipanggil membuat ujian doping selepas tamat pertandingan.

Dalam pada itu, Azura berkata ADAMAS telah melengkapkan pengambilan sampel kepada hampir keseluruhan 18 atlet yang layak ke temasya sukan empat tahun sekali itu setakat ini.

Antara 18 atlet yang telah mengesahkan tempat ke Paris 2024 ialah jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, pemenang gangsa beregu lelaki Sukan Olimpik 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia.

Sukan Olimpik 2024 dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan