SUKAN > BERITA

LEBIH 80 PEMAIN SERTAI KEJOHANAN GOLF AMATUR WANITA KE-47

12/06/2024 04:33 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Lebih 80 pemain amatur wanita terbaik rantau Asia termasuk pemain tempatan menyertai kejohanan Golf Amatur Wanita edisi ke-47 yang akan diadakan di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) pada 23 hingga 25 Julai depan.

Penganjur kejohanan Ai-leen Tan berkata selain pemain amatur tempatan diketuai Mirabel Ting yang juga juara bertahan, pemain mempunyai World Amateur Golf Ranking (WAGR) dari Australia, Jepun dan Indonesia antara yang telah menyatakan persetujuan setakat ini.

"Dengan adanya pemain WAGR kami jangkakan taraf kejohanan ini juga akan meningkat. Penyertaan pemain amatur wanita Malaysia dan daripada negara lain juga bakal memastikan matlamat kejohanan ini sebagai landasan penting memperkembangkan sukan golf di negara ini.

“Matlamat kami adalah untuk menjadikan kejohanan ini acara serantau dalam beberapa tahun lagi," katanya pada sidang media mengumumkan kejohanan berkenaan di RSGC di sini hari ini.

Sama seperti edisi sebelumnya, empat kejuaraan dipertandingkan iaitu Piala Tuanku Bahiyah (juara gross), Piala Toh Puan Norashikin (juara nett), Piala Datin Azian (juara gross berpasukan) dan Piala Clarissa Lee (juara nett berpasukan).

Kejohanan itu mendapat tajaan utama daripada MKH Berhad, Omar Salim dan AmBank sementara penaja bersama, Wellness Cosmetology Alliance Lab dan Royal Selangor International Sdn Bhd sebagai penaja rasmi piala kejohanan.

Pemain golf wanita tempatan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejohanan ini boleh melayari http://lao.thersgc.com/ dan tarikh tutup penyertaan pada 15 Julai depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan