SUKAN > BERITA

MTBC AKAN KEMUKA RAYUAN TENPIN BOLING DIPERTANDINGKAN DI SUKAN SEA 2025

22/06/2024 10:20 PM

PETALING JAYA, 22 Jun (Bernama) -- Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) akan mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) melalui Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk mempertimbangkan sukan berkenaan dipertandingkan dalam Sukan SEA 2025 di Thailand. 

Pemangku Presiden MTBC Datuk Mohammed Najeeb Abdullah yakin MOM yang diterajui Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pastinya akan mengambil langkah proaktif untuk membantu mereka. 

“MTBC melahirkan rasa duka cita kerana tidak disenaraikan sebagai salah satu daripada 40 jenis sukan yang akan dipertandingkan pada Sukan SEA akan datang.  

“Ini kerana selama ini apabila Sukan SEA diadakan di Bangkok, tenpin boling tidak ketinggalan dan kita tahu terakhir di Phnom Penh (2023) tidak ada kerana tiada kemudahan atau fasiliti di sana,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Mohammed Najeeb percaya rayuan yang harus dibuat sebelum 31 Ogos ini akan mendapat sokongan majoriti negara mengambil bahagian kerana kebanyakan daripada mereka mempunyai atlet tenpin boling. 

Selain itu, beliau berpendapat tiada masalah venue sukan tenpin boling akan timbul di Thailand apabila negara Gajah Putih itu turut menganjurkan beberapa kejohanan boling tahun ini. 

“(Sekiranya tenpin boling dimasukkan) sebagaimana Sukan SEA Hanoi 2021, kita memang akan hantar skuad pelapis untuk beri mereka peluang asah bakat dan insya-Allah kita pertimbang strategi sama. 

“Dari segi pemain, memang sentiasa bersedia (dan) jadual padat sebab kita terlibat pertandingan antarabangsa,” katanya. 

Semalam, MOM memaklumkan akan mengemukakan rayuan kepada SEAGF untuk memasukkan beberapa sukan berpotensi meraih pingat bagi Malaysia dalam Sukan SEA 2025 di Thailand. 

Mesyuarat Jawatankuasa Sukan dan Peraturan SEAGF di Bangkok, Thailand baru-baru ini telah mencadangkan 40 sukan berserta cakera terbang dan tarik tali sebagai sukan demonstrasi sempena Sukan SEA ke-33 yang dijadualkan dari 9 hingga 20 Dis tahun depan di Bangkok, Chonburi dan Songkhla.

Sementara itu, Mohammed Najeeb bersyukur apabila atlet tenpin boling semakin ‘mendapat tempat’ seperti meraih gelaran Olahragawati Kebangsaan 2023 yang dianugerahkan kepada Natasha Mohamed Roslan pada Anugerah Sukan Negara 2023 di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil baru-baru ini. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan