SUKAN > BERITA

SELANGOR FC DIDENDA RM100,000, PEMOTONGAN TIGA MATA AKIBAT 'TARIK DIRI' DARIPADA AKSI SUMBANGSIH

25/06/2024 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Selangor FC menerima tamparan hebat selepas antaranya didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025, susulan tidak hadir pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor bulan lepas.

Skuad Gergasi Merah juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak.

Selain itu, perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), akan dimainkan tanpa penonton.

MFL dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua keputusan itu dibuat selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL mengadakan mesyuarat, bagi membincangkan kes Selangor tidak hadir pada aksi Sumbangsih menentang JDT yang sepatutnya berlangsung 10 Mei lepas.

Bagaimanapun, MFL tidak menyatakan tarikh berkuat kuasa kesemua denda itu dan sekiranya terdapat ruang buat Selangor membuat rayuan.

Pemotongan tiga mata menyaksikan Selangor yang kini berada di kedudukan kedua Liga Super dengan mengumpul sembilan mata, akan jatuh ke posisi kelima.

Bulan lepas, Selangor terpaksa menarik diri daripada menyertai perlawanan Sumbangsih susulan insiden jenayah serta ancaman yang berlaku membabitkan beberapa pemain, selepas pemain sayap mereka Mohamad Faisal Abdul Halim menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei.

Selangor menegaskan bahawa keselamatan pasukan diutamakan selain memandang serius segala bentuk ancaman dan tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan perkara itu.

Keputusan itu menyaksikn JDT diberikan kemenangan ‘walkover’ dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi aksi Liga Super.

Dalam pada itu, MFL memaklumkan wang denda RM100,000 yang dikenakan terhadap Selangor akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan nanti.

Menjelaskan mengenai aksi Liga Super minggu ke-14 di Stadium MBPJ, badan pengelola Liga Malaysia itu menjelaskan operasi perlawanan tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama antara MFL dan pasukan tuan rumah.

“Syarat kemasukan wakil terpilih kedua-dua kelab yang akan diselaraskan untuk kehadiran pada hari perlawanan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan