SUKAN > BERITA

SELANGOR FC TELITI AMBIL TINDAKAN SELEPAS DIHUKUM MFL

25/06/2024 10:47 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Selangor FC sedang meneliti serta mengkaji semua saluran bersesuaian bagi mengambil tindakan seterusnya selepas didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Super 2024/2025 oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini.

Skuad Gergasi Merah dalam satu kenyataan mengambil maklum keputusan MFL berhubung denda dikenakan selepas tidak hadir pada perlawanan  Piala Sumbangsih  yang juga aksi pertama Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor, 10 Mei lepas.

“Untuk makluman pihak kelab memohon penangguhan perlawanan tersebut selepas kes jenayah serangan asid terhadap Mohamad Faisal Abdul Halim pada 5 Mei yang lalu, dan beberapa lagi insiden lain yang melibatkan pemain bola sepak tanah air, namun permohonan tersebut telah ditolak,” menurut  kelab itu.

Selain denda tersebut, Ahli Lembaga Pengarah MFL turut memutuskan perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), akan dimainkan tanpa penonton.

Pemotongan tiga mata menyaksikan Selangor yang kini berada di kedudukan kedua Liga Super dengan mengumpul sembilan mata akan jatuh ke posisi kelima.

Susulan kejadian menimpa Faisal Halim dan beberapa pemain, Selangor pada bulan lepas menegaskan keselamatan pasukan diutamakan selain memandang serius segala bentuk ancaman dan tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan perkara itu.

Keputusan itu menyaksikan JDT diberikan kemenangan percuma  dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi aksi Liga Super.

MFL juga memaklumkan wang denda RM100,000 yang dikenakan terhadap Selangor akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan nanti.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan