SUKAN > BERITA

KBS TUBUH JAWATANKUASA PANTAU PROJEK NTC FAM - HANNAH

26/06/2024 02:44 PM

PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi memantau kemajuan projek pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang telah bermula pertengahan bulan ini di Presint 5, di sini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata jawatankuasa yang turut dianggotai wakil dari Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi itu adalah bagi memastikan projek tersebut siap mengikut tempoh masa disasarkan iaitu Fasa 1 pada Disember 2026 manakala Fasa 2 pula pada Disember 2027.

“Sebelum 2022, projek ini tidak dapat dijalankan susulan isu tanah dan dana namun dengan adanya jawatankuasa pemantauan ini mereka akan pastikan projek terlaksana,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah NTC FAM di sini, hari ini.

Mengikut perancangan asal, projek NTC FAM yang diumum pada 2019 itu pada asalnya dijadual mula dibina pada 2021.

Terdahulu, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata projek tersebut yang menelan belanja keseluruhan RM69 juta merangkumi pembinaan dua fasa dengan Fasa 1 dibiayai Persekutuan Bolasepak Antarabangsa berjumlah AS$5.2 juta (kira-kira RM24 juta) manakala Fasa 2 menggunakan peruntukan RM45 juta daripada kerajaan menerusi KBS.

Fasa 1 projek NTC yang dilaksanakan oleh syarikat tempatan RS Green Master (M) Sdn Bhd merangkumi pembinaan tiga padang bola sepak dengan jenis rumput berbeza iaitu rumput asli (Bermuda), hibrid dan tiruan serta dilengkapi lampu limpah sepenuhnya dan sistem saliran berkualiti, landskap dan pagar setinggi enam meter di sekeliling kawasan padang.

Fasa 2 pula akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan tender dijangka dibuka pada September 2024 membabitkan pembinaan sebuah bangunan seluas 1,682.8 meter persegi merangkumi gimnasium, ruang serba guna, bilik persalinan pemain, ruang rehabilitasi dan surau, selain pembinaan bumbung bagi padang rumput tiruan yang dibina pada Fasa 1.

Projek NTC FAM bakal menjadi sebahagian daripada bandar bola sepak di Presint 5 yang turut dilengkapi ibu pejabat FAM dan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) serta sebuah stadium mini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan