SUKAN > BERITA

JIN WEI 'REDA' KE OLIMPIK PARIS 2024 TANPA JURULATIH

28/06/2024 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Pemain profesional wanita negara Goh Jin Wei akur dengan hakikat bahawa akan ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 bersendirian tanpa jurulatihnya Nova Armada.

Perseorangan wanita berusia 24 tahun itu kini mahu menumpukan kepada memperbaiki kelemahannya menjelang temasya empat tahun sekali yang akan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos.

“Saya terpaksa menerima (dan) bagi saya, saya berhak untuk apa yang saya perjuangkan (layak ke Olimpik). Buat masa ini saya cuma mahu fokus kepada latihan saya.

“Jurulatih saya, Nova, tidak akan ke Paris. Tapi saya akan terus berhubung dengannya (melalui panggilan video),” katanya ketika ditemui pada kejohanan persahabatan berpasukan 3v3 Tiga Saga Li Ning Cup antara media dan Li Ning di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Jin Wei tidak akan ditemani jurulatihnya di Sukan Olimpik Paris 2024 susulan kuota kad akreditasi yang terhad dikeluarkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Beliau akan dibantu termasuk menerima bimbingan daripada Pengarah Kejurulatihan daripada Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky.

Menurut ketua kontinjen negara (CDM) ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd berkata walaupun tanpa jurulatih, Jin Wei yang akan berlepas ke Paris pada 23 Julai ini, tetap menerima khidmat sokongan yang ditawarkan Institut Sukan Negara (ISN).

Jin Wei berkata beliau yakin jurulatih dari Indonesia itu mampu memberikan nilai tambah kepadanya ketika beraksi di temasya itu.

"Kena sesuaikan jugalah (tanpa jurulatih). Tetapi jurulatih Rexy juga bekas pemain yang bagus dan juara Olimpik. Sekarang kita masih ada banyak (masa) lagi, so for now I want to focus on my training,"katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan