SUKAN > BERITA

BAJC: MALAYSIA MELANGKAH KE SEPARUH AKHIR

01/07/2024 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Malaysia berjaya kembali ke separuh akhir Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) selepas melakukannya pada edisi 2018 setelah menewaskan India 3-2 pada peringkat suku akhir di Yogyakarta, Indonesia hari ini.

Pasukan negara memulakan kempen hari ini dengan kurang memberangsangkan apabila pasangan beregu campuran Kang Khai Xing-Aqilah Ramdan tumbang kepada Sanskar Saraswat-Shravani Walekar 16-21, 21-13, 17-21 dan seterusnya India melebarkan kelebihan mereka menerusi pemain perseorangan wanita Tanvi Sharm yang menewaskan Siti Zulaikha Azmi 21-15, 15-21, 22-20.

Bagaimanapun, pemain perseorangan lelaki Muhammad Faiq Masawi mencetus kebangkitan cemerlang untuk pasukan negara apabila menang menentang Pranay Shettigar 15-21, 21-18, 21-19 sebelum beregu wanita Ong Xin Yee-Carmen Ting menyamakan kedudukan untuk Malaysia dengan mengatasi Navya Kanderi-Shravani Walekar 21-16, 21-15.

Khai Xing, yang kembali ke gelanggang, kali ini berpasangan dengan Aaron Tai dalam kategori beregu lelaki menjadi wira Malaysia apabila mereka menewaskan Bhargav Ram Arigela-Arsh Mohammad 21-18, 21-10 untuk mengesahkan tempat di separuh akhir.

Malaysia akan menentang China selepas juara lapan kali itu menumbangkan Taiwan 3-0 awal hari ini.

Tahun lepas, skuad negara gagal melepasi peringkat suku akhir setelah tewas 0-3 kepada Thailand, juga di Yogyakarta.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam acara berpasukan campuran ialah pada 2018 apabila meraih gangsa pada kejohanan di Jakarta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan