SUKAN > BERITA

TFC NAFI STEINBRUCKNER MENINGGAL KEMALANGAN

03/07/2024 10:13 PM

KUALA NERUS, 3 Julai (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) menafikan khabar angin bahawa ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Ia susulan penularan berita dan gambar palsu di laman sesawang dan media sosial  hari ini.

Pengarah Sukan TFC, Zul Fadli Rozi berkata berita tersebut jelas palsu dan disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab atas tujuan tidak baik.

Beliau berkata pengendali kelahiran Crotia itu masih sihat dan giat melatih pemain di padang petang tadi sebagai persiapan untuk menghadapi perlawanan  suku akhir kedua Piala FA menentang Sabah FC di Kota Kinabalu, Sabtu ini.

TFC membenam Sabah FC 4-0 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, Sabtu lalu.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya berita yang tersebar di laman sesawang dan laman sosial. Coach Tomi sihat walafiat dan sibuk melatih pemain di Pusat Latihan TFC di Gong Badak petang tadi...saya pun ada di sana," katanya ketika dihubungi.

Menurut Zul Fadli beliau serta keluarga besar TFC amat kesal dengan penularan berita itu yang dibimbangi menjejaskan semangat penyokong.

Beliau juga berharap supaya peminat bola sepak tidak mudah percaya dengan khabar angin dan tidak menularkan berita palsu itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan