SUKAN > BERITA

AARON-WOOI YIK TAMPIL DENGAN PENAMPILAN BAHARU

10/07/2024 08:10 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tampil dengan penampilan lebih kurus mahu mencipta sejarah membawa pulang pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Pasangan nombor lima dunia itu yang melakar sejarah menjadi beregu lelaki pertama Malaysia bergelar juara dunia pada 2022 selain konsisten dalam kejohanan-kejohanan utama, optimis mampu mengatasi pencapaian meraih gangsa dalam edisi Tokyo 2020.

“Kami mahu mencapai sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini. Itu sentiasa menjadi motivasi kepada kami. 

“Kali ini mungkin peluang buat kami, tiada tekanan, kita nikmati setiap perlawanan dan tidak akan mengalah,” kata Aaron dalam sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini hari ini.

Malaysia yang belum pernah meraih pingat emas Sukan Olimpik sejak penampilan sulung pada Melbourne 1956 memenangi lapan perak dan lima gangsa secara keseluruhan dan daripada jumlah itu, enam perak dan tiga gangsa disumbang menerusi sukan badminton.

Mengulas penampilan baharu itu, Aaron berharap program penurunan berat badan dirancang jurulatih Tan Bin Shen akan membantu mereka berada pada prestasi terbaik di Porte de La Chapelle Arena, Paris dari 27 Julai hingga 5 Ogos ini.

Pemain berusia 27 tahun dari Melaka itu berkata penampilan lebih kurus dicapai melalui latihan tambahan pada waktu malam selain sesi pagi dan petang dan mengawal pemakanan sejak beberapa minggu lalu bagi mengurangkan lemak badan dan menambah otot.

Dalam pada itu Wooi Yik berharap latihan untuk mencapai bentuk badan berkenaan akan membantu mereka beraksi cemerlang di Sukan Olimpik yang mencabar dari segi fizikal.

“Latihan kecergasan dan kekuatan selain kejohanan simulasi seumpama pertandingan sebenar akan membantu kami di Paris. Sukan Olimpik amat sukar dan kami perlu mengharungi perlawanan peringkat kumpulan sebelum pusingan kalah mati serta menentang pemain-pemain terbaik dunia.

“Jadi, dari segi fizikal dan mental sangat penting, kami bersedia 100 peratus untuk itu. Kami berdepan begitu banyak kepayahan dan saya rasa bagaimana kami kembali lebih kuat itu amat penting,” katanya.

Wooi Yik berkata semangat patriotik dan cintakan negara sentiasa mendorongnya dan Aaron untuk memberikan persembahan yang diharapkan seperti di Sukan Olimpik Tokyo, Sukan Asia Hangzhou dan Kejohanan Dunia 2022.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan