SUKAN > BERITA

KELANTAN SASAR 56 PINGAT PADA SUKMA SARAWAK

10/07/2024 09:49 PM

KOTA BHARU, 10 Julai (Bernama) -- Kontinjen Kelantan menyasarkan kutipan 56 pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Sarawak pada Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakhshari Muhamad jumlah sasaran itu melibatkan 20 pingat emas, 10 perak dan 26 gangsa.

Beliau berkata Kelantan akan menghantar 400 atlet untuk menyertai 30 acara sukan yang dipertandingkan pada temasya itu.

"Sekarang ini, setiap atlet sedang melakukan persiapan terakhir di pusat latihan, kelab atau persatuan masing-masing dan pada pertengahan Julai ini mereka akan menjalani latihan pusat bagi merancang strategi.

"Kerajaan negeri juga sentiasa memberi kerjasama kepada Majlis Sukan Negeri bagi memastikan setiap atlet melakukan persiapan dengan baik," katanya kepada Bernama hari ini.

Zamakhshari berkata kerajaan negeri akan menawarkan imbuhan kepada mana-mana atlet yang berjaya membawa pulang pingat dalam acara yang diwakili.

"Imbuhan ini merupakan wang tunai seperti yang disediakan sebelum ini dan akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.

SUKMA 2024 dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos melibatkan sembilan bahagian di Sarawak  iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Temasya kali ini menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita selain menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan