SUKAN > BERITA

MFSA HARAP LEBIH BANYAK NEGERI WUJUDKAN PERSATUAN FINSWIMMING

13/07/2024 06:22 PM

SEREMBAN, 13 Julai (Bernama) -- Persatuan Finswimming Malaysia (MFSA) berharap lebih banyak negeri mewujudkan persatuan sukan terbabit bagi membolehkan acara fin swimming dapat dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.

Presidennya S. Ravivarma berkata hal ini kerana syarat untuk melayakkan sukan itu dipertandingkan pada SUKMA adalah sekurang-kurangnya mempunyai penyertaan tujuh negeri dan ketika ini hanya lima negeri mempunyai persatuan finswimming selepas sukan berkenaan dimulakan pada 2021.

“Kalau tak daftar persatuan, kita tak dapat bangunkan sukan ini. SUKMA Ogos ini kita tak dapat hantar penyertaan kerana sekarang kita hanya ada (persatuan finswimming) lima negeri iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Melaka dan Johor manakala Kuala Lumpur, Kedah dan Pahang dalam proses pendaftaran.

“Jadi tahun seterusnya kita cuba masukkan sukan ini dalam SUKMA… pada masa sama persatuan juga penting untuk kita iktiraf dan dapatkan dana kerajaan bagi adakan pelbagai program pembangunan untuk sukan ini yang pastinya disalurkan menerusi persatuan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan pingat kepada pemenang 1st Negeri Sembilan Age Group Finswimming Championship yang disertai oleh 65 peserta dalam pelbagai kategori usia bermula lapan tahun di sini hari ini.

Ravivarma berkata kejohanan berkenaan bertujuan mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi supaya tidak ‘ketandusan’ atlet pada masa hadapan sekali gus berpotensi membawa nama negara ke tahap lebih tinggi. 

“Ketika ini atlet yang dihantar mewakili negara ke peringkat antarabangsa adalah atlet sedia ada sahaja, maka kita buat kejohanan seperti hari ini di setiap negeri untuk mencari bakat baharu dan berpotensi menaikkan lagi sukan ini,” katanya sambil menambah Melaka menjadi negeri seterusnya menganjurkan kejohanan itu.

Beliau berkata Majlis Sukan Negeri setiap negeri juga diminta memberi sokongan dan bergerak lebih aktif terhadap pembangunan sukan terbabit termasuk menganjurkan lebih banyak kejohanan seumpama itu.

Menurut Ravivarma setakat ini terdapat 32 atlet fin swimming dalam negara dan akan mewakili Malaysia dalam Finswimming World Cup yang dijadualkan Oktober ini di Phuket, Thailand membabitkan lebih 30 negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan