SUKAN > BERITA

KL CITY ATASI SELANGOR 1-0 DI LAMAN SENDIRI

14/07/2024 11:39 PM

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Kuala Lumpur (KL) City berjaya mengatasi Selangor FC 1-0 di laman sendiri pada aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Bolasepak Cheras di sini malam ini. 

Kemenangan skuad The City Boys itu sekali gus melonjakkan kedudukan skuad kendalian Miroslav Kuljanac itu ke tangga keempat carta Liga Super dari tangga ketujuh sebelum ini. 

Perlawanan malam ini menyaksikan kedua-dua pasukan bermula seimbang dalam mengatur gerak bagi memburu jaringan, namun gagal memecah kebuntuan sepanjang babak pertama perlawanan.

Memasuki babak kedua skuad The City Boys mendahului pasukan Gergasi Merah menerusi Jovan Montika yang meleretkan bola ke dalam gawang Selangor selepas menerima hantaran Muhammad Hakimi Azim Rosli pada minit ke-63. 

Lima minit kemudian, KL City berpeluang menggandakan kedudukan apabila menerima sepakan percuma selepas berlaku insiden tolak-menolak dalam kotak penalti, namun sepakan yang diambil Poulo Josue ditangkap kemas penjaga gol Selangor Mohd Khairulnizam Mohd Khalid. 

Asakan demi asakan dilakukan Selangor untuk menyamakan kedudukan, namun gagal dan keputusan kekal 1-0 hingga ke wisel penamat. 

Selangor kekal berada di tangga kedua carta dengan sembilan mata, manakala KL City di tangga keempat dengan tujuh mata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan