SUKAN > BERITA

KOMITMEN ‘LUAR BIASA’ KUNCI KEJAYAAN NEGERI SEMBILAN FC

14/07/2024 11:28 AM

TEMERLOH, 14 Julai (Bernama) -- Komitmen luar biasa ditonjolkan skuad Negeri Sembilan FC sepanjang tempoh permainan memberi pulangan berbaloi apabila berjaya mengutip tiga mata berharga di gelanggang lawan. 

Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC Azzmi Ab Aziz berkata kemenangan 2-0 yang diraih ke atas Sri Pahang FC tidak datang dengan mudah, bahkan menuntut anak buahnya bekerja keras semasa latihan sejak awal musim Liga Super lagi.

"Kita sebenarnya tertekan dan memulakan perlawanan agak hambar, tetapi pemain memberikan komitmen luar biasa untuk menang.

"Ada pihak mempertikaikan bahawa kita tiada masa untuk bereksperimen, tetapi kita perlu tahu kualiti mereka, hari ini kita bermain dengan formasi yang lain dan berjaya," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan semalam.

Azzmi juga mengakui sudah mengenal pasti antara punca beberapa siri kekalahan skuad bimbingannya sebelum ini ialah disebabkan kesilapan individu.

"Bukan hendak menafikan pasukan lawan, tetapi hasil analisa dibuat kita nampak kesilapan itu, hari ini kita berjaya mengurangkan kesilapan sehingga Sri Pahang tidak dapat menghasilkan sebarang gol," katanya.

 Beliau turut berkata kecemerlangan Takumi Sasaki harus diberi pujian kerana aksi pemain itu bersama sepuluh pemain lain membawa kepada momentum kemenangan yang perlu diteruskan pada perlawanan seterusnya.

Sementara itu, pengendali Sri Pahang Fandi Ahmad berkata pasukannya akur dengan kekalahan tersebut selepas bermain agak perlahan pada babak pertama.

"Saya tidak tahu apa yang terjadi, cuma pada separuh masa kedua baharu pemain berjaya meningkatkan kecepatan sehingga mencipta tiga atau empat peluang menjaringkan gol.

"Semangat juang kita juga kalah kepada Negeri Sembilan kerana mereka lebih berkeyakinan selain nasib tidak menyebelahi kita," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan