SUKAN > BERITA

KONTINJEN PULAU PINANG CAPAI 98 PERATUS PERSIAPAN SUKMA XXI

15/07/2024 06:29 PM

GEORGE TOWN, 15 Julai (Bernama) -- Kontinjen Pulau Pinang telah mencapai 98 peratus persiapan bagi menghadapi kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) XXI di Sarawak yang akan berlangsung pada 17 hingga 25 Ogos depan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang Harry Chai Heng Hua berkata baki dua peratus lagi adalah persiapan mental dalam kalangan 611 atlet yang akan menyertai kejohanan itu.

"Berbaki 32 hari lagi menjelang SUKMA di Sarawak, dari segi persiapan atlit, kontinjen Pulau Pinang memang dalam keadaan baik dan setakat ini telah mencapai 98 peratus, manakala lagi dua peratus itu ialah dari segi persiapan mental serta kami akan "menekan" mereka saat-saat akhir ini.

"Dalam sukan kita kena beri sokongan dan dorongan termasuk "tekanan" hingga saat akhir kepada atlet-atlet bertanding supaya mereka dapat mencapai sasaran yang ditetapkan, terutama menang dalam pertandingan acara mereka," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata secara keseluruhan seramai 786 atlet termasuk jurulatih dan pengurus akan terlibat dalam kejohanan SUKMA di Sarawak tahun ini.  

Harry berkata pihaknya juga optimis dapat mencapai sasaran 40 pingat emas pada kejohanan itu berdasarkan kesungguhan para atlet ketika menjalani latihan malah ada di kalangan mereka telah berlatih sejak dua tahun lepas.

“Pasukan negeri ini akan mengambil bahagian dalam 36 jenis sukan daripada keseluruhan 37 sukan dipertandingkan yang melibatkan 488 acara dan berharap sekurang-kurangnya satu pingat emas disumbangkan dalam setiap sukan itu.

"Atlet-atlet kita kebanyakkannya memang berlatih secara berterusan dan yang terpilih ini antara mereka yang terbaik bagi mewakili Pulau Pinang untuk mendapatkan pingat di Sarawak nanti," katanya.

Dalam SUKMA edisi lepas yang diadakan di Kuala Lumpur telah menyaksikan kontinjen Pulau Pinang meraih 30 pingat emas, melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 26. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan