SUKAN > BERITA

KIM PAN GON UMUM LETAK JAWATAN ATAS ALASAN KOMITMEN PERIBADI

16/07/2024 04:51 PM

PETALING JAYA, 16 Julai (Bernama) -- Kim Pan Gon mengumumkan peletakan jawatannya selaku ketua jurulatih skuad bola sepak lelaki kebangsaan berkuat serta-merta, atas alasan komitmen peribadi.

Pada satu sidang media khas di Wisma FAM hari ini, jurulatih berusia 55 tahun berasal dari Korea Selatan itu berkata telah membuat keputusan untuk berundur awal, walaupun kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah sehingga Disember 2025.

“Saya memohon maaf atas sebarang kekecewaan yang mungkin ditimbulkan kepada semua pihak. Sejak saya tiba pada Februari 2022, selama dua setengah tahun yang lalu, rakyat Malaysia benar-benar menghadiahkan saya satu perjalanan yang sangat luar biasa dan indah, dalam hidup saya.

“Pada Jun 2022, kita bersama-sama berkongsi kegembiraan Malaysia layak ke Piala Asia secara merit selepas tempoh 43 tahun dan sejak itu, kita telah meningkat ke tangga ke-130 dalam ranking FIFA.

“Pada aksi terakhir Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu, kita berjaya seri 3-3 dengan pasukan ranking ke-22 dunia, Korea Selatan, sekali gus menunjukkan satu kebanggaan yang rakyat Malaysia harus ada dalam bola sepak mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata Penolong Ketua Jurulatih Pau Marti Vicente dari Sepanyol, dilantik sebagai pemangku ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, dibantu seorang lagi Penolong Ketua Jurulatih Kebangsaan E. Elavarasan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan