SUKAN > BERITA

SEGERA CARI PENGGANTI SETANDING PAN GON

17/07/2024 11:15 AM

Oleh Muhamad Azhar Tajuddin

IPOH, 17 Julai (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mencari jurulatih lebih berkualiti atau setanding dengan prestasi dipamerkan bekas ketua jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon sepanjang hampir tiga tahun mengemudi pasukan kebangsaan.

Bekas Naib Presiden FAM Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata indikator itu perlu bagi memastikan prestasi Harimau Malaya yang kini berada dikedudukan ke-135 dunia terus konsisten khususnya menjelang saingan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac tahun depan.

“Buat masa ini kita boleh melihat prestasi dipamerkan skuad kebangsaan berada pada tahap yang baik di bawah kendalian Pan Gon. Jadi, untuk pastikan prestasi ini terus kekal, pengambilan jurulatih berprofil tinggi dan berpengalaman perlu menjadi keutamaan.

“Pelantikan ini juga harus dibuat secepat mungkin kerana pusingan kelayakan Piala Asia 2027 akan berlangsung Mac depan. Ditambah, memilih dan mengenal pasti pemain berkualiti untuk mewakili negara juga memerlukan masa,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Terdahulu, Pan Gon yang berasal dari Korea Selatan melepaskan jawatannya berkuat kuasa serta-merta selepas dua tahun mengemudi skuad negara iaitu sejak 2022 hingga Julai 2024. 

Di bawah kendalian Pan Gon kejayaan terbesar dicapai adalah apabila berjaya membawa Malaysia ke pentas Piala Asia 2024 selepas kali terakhir layak ke kejohanan berprestij itu 43 tahun lepas.

Berusia 55 tahun, Pan Gon berjaya mencipta prestasi mengagumkan apabila berjaya merekod 20 kemenangan, lima seri dan 10 kekalahan daripada keseluruhan 35 perlawanan sejak tugas pertamanya bersama Harimau Malaya pada 23 Mac 2022

Zainol yang juga bekas Presiden Bola Sepak Perak (PAFA) turut meminta peminat dan penyokong bola sepak tanah air supaya menghormati keputusan dibuat jurulatih berusia 55 tahun itu.

“Walaupun perkara ini sesuatu yang amat mengejutkan ramai terutama penyokong namun bagi saya kita perlu beri ruang kepada Pan Gon untuk bertenang dan menyelesaikan masalah dihadapi. 

“Perkara yang terjadi juga sudah tertulis. Seharusnya semua pihak terus memandang ke hadapan dan tidak menimbulkan pelbagai spekulasi berkaitan isu ini kerana ia sedikit sebanyak memberi imej buruk kepada pasukan negara,” katanya.

Sementara itu, bekas penyerang sensasi Perak dan kebangsaan Muhammad Khalid Jamlus berkata beliau percaya FAM mempunyai kredibiliti dan standard tersendiri dalam mencari pengganti berkualiti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pan Gon.

Beliau berkata meskipun tugas itu bukan sesuatu yang mudah namun berbekalkan kepakaran dan pengalaman dimiliki FAM sebelum ini, perkara berkenaan akan dapat diselesaikan dalam waktu terdekat.

“Kita serahkan sepenuhnya pemilihan jurulatih baharu ini kepada FAM. Mereka lebih arif dalam menilai dan saya pasti akan ada jurulatih yang sanggup memimpin pasukan negara khususnya untuk layak ke Piala Asia 2027 secara merit,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Khalid berkata perletakan jawatan Pan Gon sebagai jurulatih negara  seharusnya tidak dipertikai kerana ia merupakan asam garam dalam permainan bola sepak.

“Jurulatih itu sifatnya datang dan pergi. Itu perkara yang normal dalam arena bola sepak. Sepatutnya semua pihak termasuk penyokong tak perlu terlampau beremosi. 

“Sebaliknya, kita perlu lihat ke hadapan dan beri dukungan supaya pasukan negara terus mencapai kejayaan demi kejayaan yang mampu meletakkan Malaysia sebagai antara kuasa baharu bola sepak di Asia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan