SUKAN > BERITA

TUNJUK ‘HASIL’ UNTUK IBU BAPA BAGI KEBENARAN SERTAI E-SUKAN - SEKYS

17/07/2024 01:49 PM

SEPANG, 17 Julai (Bernama) -- Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman yang baru dinobatkan sebagai pemain paling bernilai Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 menasihati pemain muda yang mahu menceburi sukan elektronik atau e-sukan supaya tidak mudah berputus asa.

Pemain berusia 18 tahun yang lebih dikenali sebagai ‘Sekys’ berkata mereka perlu menunjukkan hasil terbaik setiap kali menyertai kejohanan bagi ‘mencuri’ hati ibu bapa yang mempunyai stigma tersendiri tentang dunia e-sukan. 

Sekys mengakui pembabitan awalnya tidak mendapat sokongan, namun hasil kerja keras hingga mampu menjana pendapatan sampingan membolehkan keluarganya menerima bidang sukan diminatinya itu.

“Kalau anda ceburi bidang diminati (kena) buat betul-betul (dan) jangan putus asa sebab pada awal pembabitan saya, memang dipandang negatif. (Namun) bila dah tunjuk hasil, ibu bapa akan menerima (anak terlibat dalam bidang e-sukan) secara perlahan-lahan. 

“Sebab saya pun baru habis SPM (peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia) jadi memang kena disiplin jika nak bermain hingga profesional dan pada masa sama juga kena belajar,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini. 

Sekys merupakan seorang daripada ahli kumpulan Selangor Red Giants (SRG) yang telah mengharumkan nama negara apabila menamatkan kemarau tujuh tahun Malaysia untuk menjuarai aksi antarabangsa e-sukan selepas menumbangkan Filipina Falcons AP Bren Sport 4-3 di kejohanan MLBB 2024 yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi pada Ahad.   

Kemenangan itu menyaksikan SRG membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah US$1 juta (RM4.6 juta).

Ketibaan mereka di KLIA disambut dengan tepukan dan sorakan peminat e-sukan tanah air selain kehadiran Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi. 

Anak kelahiran Terengganu yang merupakan jungler SRG itu bagaimanapun enggan mendabik dada dengan kejayaan berkenaan dengan menggelar dirinya sebagai jungler terbaik kerana merasakan masih ada ruang untuk dibaiki kerana kejohanan terbabit merupakan satu-satunya gelaran antarabangsa buat beliau. 

“…. sedikit sebanyak mungkin akan ada tekanan (untuk kejohanan selepas ini) tetapi apa-apa pun kita akan cuba buat yang terbaik (dan) teruskan momentum,” katanya. 

Sementara itu, Mohd Najwan meminta pihak pengurusan SRG memberi bimbingan kepada pemain menguruskan kewangan mereka dengan cara terbaik selain akan berbincang kepada pihak berkepentingan berkenaan insentif kepada mereka. 

Beliau memaklumkan kerajaan Selangor menerusi Menteri Besar Incorporated (MBI) telah memperuntukkan RM200,000 kepada pasukan dalam persediaan untuk menyertai kejohanan MLBB 2024. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan