SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: WIPERS BURU 70 PINGAT EMAS, JUARA KESELURUHAN

17/07/2024 04:44 PM

PUTRAJAYA, 17 Julai (Bernama) -- Kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers) menyasarkan kutipan 70 pingat emas dalam usaha merealisasi misi muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang akan berlangsung di Sarawak pada 17-24 Ogos ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata sasaran tersebut diletak bersandarkan kejayaan WiPers menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan merangkul 55 pingat emas, 68 perak dan 64 gangsa pada Sukma 2022.

"Ia memberi keyakinan kepada saya untuk menetapkan sasaran ini. Selepas kali terakhir memenangi juara keseluruhan pada Sukma 2014, sudah semestinya harapan besar buat kontinjen supaya muncul kembali sebagai juara keseluruhan selepas 10 tahun menanti.

"Saya yakin dengan kemampuan atlet-atlet kita dan percaya bahawa anda semua akan terus membawa kejayaan," katanya pada majlis Penyerahan Bendera Kontinjen WiPers Sukma 2024 di Menara Seri Wilayah, di sini hari ini. 

Menurut beliau, WiPers menghantar antara kontinjen terbesar pada temasya kali ini dengan penyertaan keseluruhan 1,011 atlet dan pegawai (705 atlet) yang menyertai kesemua 37 jenis sukan dipertandingkan.

Dr Zaliha turut mengumumkan insentif berjumlah sehingga RM5,000 buat pemenang pingat emas (individu dan berpasukan), RM2,000 bagi perak manakala RM1,000 bagi gangsa sebagai pembakar semangat kontinjen.

“Perbezaan pada temasya Sukma di Sarawak ini, jurulatih dan pengurus pasukan juga bakal memperolehi insentif atas kejayaan sukan masing-masing,” katanya.

Pada Sukma ke-20, WiPers memenangi 55 pingat emas, 68 pingat  perak dan 64 pingat gangsa untuk menduduki tempat ketiga keseluruhan di belakang Johor dan Terengganu.

Walau bagaimanapun, kontinjen tersebut telah mengumpul keseluruhan sebanyak 187 pingat menjadikan kontinjen yang memperoleh pingat tertinggi pada ketika itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan