SUKAN > BERITA

SUKMA: SARAWAK AKAN RAYU SEPAK TAKRAW WANITA DIPERTANDINGKAN

17/07/2024 08:31 PM

KUCHING, 17 Julai (Bernama) -- Sarawak akan mengemukakan rayuan bagi memastikan acara sepak takraw wanita dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di negeri itu pada 17-24 Ogos ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata rayuan akan diutarakan pada mesyuarat jawatankuasa SUKMA 2024 di Kuala Lumpur, esok.

Beliau menjelaskan ketika ini, hanya lima negeri telah menghantar penyertaan untuk acara berkenaan sekali gus tidak memenuhi syarat penyertaan minimum pertandingan iaitu enam negeri.

"Bagi 487 acara yang lain kami dapat enam atau lebih negeri bertanding. Esok saya akan merayu kepada jawatankuasa SUKMA untuk membenarkan acara ini (sepak takraw wanita berpasukan) diadakan, jika jawatankuasa kata ya, kita akan kembali kepada 488 acara (untuk SUKMA).

"Saya yakin kita akan dapatkannya (persetujuan). Para pemain (dari lima negeri yang bertanding) telah membeli tiket mereka, mereka telah berlatih berbulan-bulan dan mereka akan kecewa jika tidak dapat mengambil bahagian," katanya dalam ucapan pada majlis menghargai penaja SUKMA 2024 di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Karim berkata setakat ini, 27 penaja terlibat dalam penganjuran SUKMA 2024 dengan jumlah penajaan sebanyak RM13,040,360.

"Kami menghargai sumbangan dan komitmen daripada para penaja. Kepercayaan anda terhadap potensi atlet muda dan dedikasi dalam mempromosikan kecemerlangan sukan akan memberikan impak kepada acara sukan kebangsaan berprestij ini," katanya.

SUKMA 2024 mengetengahkan 37 jenis sukan melibatkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Sarawak sebelum ini pernah menjadi tuan rumah temasya itu sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan