SUKAN > BERITA

LIMA VENUE BERBEZA TIADA MASALAH UNTUK PEMINAT BOLA SEPAK - GERALD

17/07/2024 10:51 PM

SIBU, 17 Julai (Bernama) -- Lima venue berbeza untuk acara bola sepak lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak tidak akan menghalang peminat untuk menyaksikan perlawanan pasukan kegemaran masing-masing pada temasya dijadual bermula 17 hingga 24 Ogos ini.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu berkata peminat tegar bola sepak akan pergi ke mana-mana  untuk menonton dan menyokong pasukan pilihan mereka.

“Kami tahu bagaimana peminat bola sepak... mereka akan hadir ke stadium walaupun pada waktu malam untuk menonton perlawanan. Jadi, tidak ada masalah untuk mempunyai venue berbeza pada SUKMA edisi ke-21 ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Stadium Tun Zaidi di sini hari ini.

Pusingan awal acara bola sepak akan berlangsung di Stadium Tun Zaidi dan Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim di Sibu Jaya, Stadium Mukah dan Padang Mesra Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) dan Stadium Bintulu.

Beliau berkata perlawanan pusingan awal bagi pasukan Sarawak dan pusingan peringkat suku akhir, separuh akhir dan final akan berlangsung di Mukah.

Gerald, yang juga ketua kontinjen Sarawak, berharap peratusan kerja-kerja di padang dan kemudahan di Stadium Tun Zaidi akan disiapkan dalam masa tiga minggu manakalA semua venue bola sepak lain berada dalam keadaan baik.

Sementara itu, acara bola sepak wanita akan berlangsung di Cascara Arena iaitu padang bola sepak sintetik standard FIFA di Kuching.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan