SUKAN > BERITA

PARIS 2024: PELUANG PINGAT JIKA MOHAMMAD ANIQ MAMPU LAKUKAN ANGKATAN LEBIH BERAT

18/07/2024 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Atlet angkat berat negara Mohammad Aniq Kasdan berpeluang mengintai kilauan pingat sekiranya mampu memperbaiki rekod peribadinya yang juga rekod kebangsaan, di Sukan Olimpik Paris 2024.

Badang berusia 22 tahun yang membuat penampilan sulungnya di temasya itu berkata kilauan pingat mungkin hadir sekiranya beliau mampu melakukan angkatan lebih berat dalam kategori 61 kilogram (kg), mengatasi rekod kebangsaan miliknya 296kg, iaitu 126kg dalam sntach dan 170kg clean and jerk.

Berdasarkan keputusan edisi Tokyo 2020, Li Fabin dari China meraih pingat emas selepas melakukan 313kg, diikuti Eko Yuli Irawan dari Indonesia dengan 302kg untuk perak manakala Igor Son dari Kazakhstan (294kg).

Pada Piala Dunia IWF (Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa) di Phuket, Thailand pada April lepas, wakil China itu mengungguli kategori 61kg dengan angkatan keseluruhan 312kg, Hampton Morris dari Amerika Syarikat (303kg) untuk perak dan Pak Myong Jin dari Korea Utara (301kg) gangsa manakala Mohammad Aniq berada di tempat kelapan selepas melakukan 290kg.

Atlet kelahiran Johor itu berkata walaupun sedar persaingan pasti sengit namun beliau tetap optimis dengan peluangnya untuk menaiki podium dalam acara angkat berat yang akan berlangsung pada 7 Ogos di South Paris Arena.

“Perbezaan antara saya dan pesaing memang sengit, hanya beza beberapa kilogram sahaja. Jadi saya kena berusaha sedaya upaya di Paris nanti dan cuba buat angkatan lebih berat untuk hadirkan kilauan pingat, namun bergantung juga pada prestasi pencabar lain. 

“Saya telah meningkatkan intensiti latihan. Jika sebelum ini hanya 80 peratus berat dan buat lebih banyak set, kini saya dah tingkatkan bebanan ke 90 hingga 95 peratus. Kita juga ada buat latihan simulasi seperti pertandingan sebenar pada setiap minggu, yang menunjukkan peningkatan melepasi rekod terdahulu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohamad Aniq dijadual ke Antalya, Turkiye pada Sabtu ini untuk kem latihan selama dua minggu bagi membiasakan diri dengan perbezaan masa dan cuaca di Eropah, sebelum tiba di Paris pada 3 Ogos untuk latihan rasmi di venue pertandingan. 

Beliau berkata antara cabaran dihadapinya adalah dari segi mental dan mempercepatkan proses pemulihan pada sesi latihan, selain perlu mengekalkan disiplin tinggi. 

Malaysia tidak pernah memenangi pingat Olimpik bagi sukan angkat berat manakala badang terakhir negara beraksi di pentas Olimpik adalah Mohd Hafifi Mansor pada edisi Rio 2016 dalam kategori 69kg.

 

Profil

--------

Umur: 22 tahun

Asal: Segamat, Johor

Jurulatih: Edmund Yeo Thian Chuan 

Rekod angkatan: snatch 126kg, clean and jerk 170kg, keseluruhan 296kg

Ranking: Kelapan Asia, kesembilan dunia

Pencapaian: 

  1. Pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 (kategori 55kg) 
  2. Pingat emas Kejohanan Komanwel 2021 di Tashkent, Uzbekistan (kategori 55kg)
  3. Pingat gangsa IWF Grand Prix 2023 di Qatar (kategori 61kg)
  4. Pingat gangsa Sukan SEA Hanoi 2021 (kategori 55kg)

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan