SUKAN > BERITA

EMOSI ATLET JADI KEUTAMAAN - EXCO

18/07/2024 04:24 PM

MELAKA, 18 Julai (Bernama) -- Persiapan atlet Melaka ke SUKMA 2024 berada di fasa akhir dan tumpuan kini diberikan kepada penjagaan aspek emosi dan meningkatkan kekuatan mental serta semangat atlet, dalam usaha membawa pulang 20 emas yang disasarkan.

Exco Belia, Sukan dan NGO VP Shanmugam berkata perkara itu penting pada saat-saat akhir ini, memandangkan ada pasukan yang masih bergelut dengan masalah dan cabaran dalam sesi latihan mereka.

“Kita ambil maklum semua masalah termasuk yang dihadapi pasukan memanah dan sedang melakukan yang terbaik, untuk membantu 12 atlet skuad memanah yang menjalani latihan di Lapang Sasar Majlis Sukan Negeri (MSN) di Ayer Keroh ini, apabila lapan daripada sembilan papan sasarnya rosak,” katanya ketika dihubungi Bernama.

MSN telah diarahkan untuk menyelesaikan perkara itu dan tidak membiarkan ia merencatkan persiapan dan emosi atlet.

Shanmugam berkata program bapa angkat SUKMA yang melibatkan 27 orang exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan 35 anak angkat daripada Persatuan Sukan Melaka, dilihat banyak membantu dalam persiapan ke SUKMA  yang akan berlangsung di Sarawak itu.

Sementara itu, beliau berkata pasukan bola sepak dan silat akan menjadi pasukan pertama dari kontinjen Melaka berlepas ke Kuching, pada 30 Julai dan diikuti pasukan lain mengikut jadual ditetapkan.

“Semua persiapan di Sarawak telah diatur dengan baik termasuk slot dan venue latihan bagi atlet yang akan bertanding dan kita berharap semuanya berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya.

Kontinjen Melaka dengan 617 atlet dan pegawai, menyasarkan 20 emas daripada sembilan acara sukan dengan mempertaruhkan acara wushu, Muay Thai, silat, olahraga, tinju badminton, angkat berat, skuasy dan berbasikal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan