BERITA TERGEMPAR   PRK Nenggiri: Jentera PH akan digerakkan bantu kempen calon BN- Fahmi | 
 SUKAN > BERITA

PENGORBANAN BESAR WEI LUN DEMI LIHAT RAKAN BERJAYA - MPM

19/07/2024 02:26 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Siapa sangka bekas jaguh boccia negara Chew Wei Lun, memilih untuk bersara lebih awal biarpun kariernya sedang memuncak selepas pencapaian membanggakan pada Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo.

Digelar ‘pembunuh senyap’, Wei Lun membuat keputusan mengejut untuk bersara daripada arena sukan itu sejurus selepas membawa pulang perak acara individu BC1 (kecacatan fizikal) di Tokyo namun persaraannya kurang mendapat perhatian ramai.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin mendedahkan pemuda kelahiran Johor berusia 28 tahun itu membuat keputusan tersebut demi memberi laluan kepada rakan sepasukan termasuk pelapis mencipta nama di saingan antarabangsa.

“Kami sememangnya amat merindui Wei Lun dan berterima kasih atas sumbangannya lebih-lebih lagi selepas kejayaan di Sukan Paralimpik 2020.

“Kami amat menghormati keputusan Wei Lun kerana apa yang dibuatnya sangat mulia. Ramai tidak tahu bahawa beliau bersara kerana jika terus beraksi, atlet lain tidak dapat ambil tempatnya, satu keputusan yang amat matang dibuatnya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pada edisi Tokyo 2020, Wei Lun melakar sejarah tersendiri apabila muncul atlet pertama negara dari sukan boccia yang menyumbang pingat pada Sukan Paralimpik selepas tewas kepada wakil Great Britain, David Smith 2-4.

Minggu lepas, Megat D. Shahriman memaklumkan boccia merupakan empat sukan yang menjadi sandaran emas negara pada Sukan Paralimpik 2024 di Paris selain olahraga, powerlifting dan badminton.

Kem boccia negara mempertaruhkan tiga atlet bagi edisi Paris 2024 iaitu Abdul Razzaq Abdul Rahman, Lee Chee Hong dan Noor Askuzaimey Mat Salim.

Sukan Paralimpik 2024 akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 Sept.

Boccia merupakan permainan melempar bola berwarna merah dan biru di atas permukaan rata dan licin dengan tujuan mencapai atau mendekati sasaran bola putih disebut ‘Jack’.

Pemain atau pasukan mengumpul mata berdasarkan bola paling mendekati bola ‘Jack’ dan semakin dekat jarak bola dengan sasaran, semakin besar peluang untuk memenangi pertandingan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan