SUKAN > BERITA

PERAK SASAR SATU EMAS BOLING PADANG DI SUKMA 2024

21/07/2024 11:01 AM

Oleh Razif Rosli

IPOH, 21Julai (Bernama) -- Atlet boling padang Perak, Mohamad Ali Imran yang akan membuat penampilan terakhir di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 tekad menghadiahkan pingat emas sebelum bersara di temasya sukan terbesar kebangsaan itu.

Mohamad Ali, 20, yang menyumbang emas acara triples, berharap dapat mempertahankan emas dimenangi pada edisi 2022 di Kuala Lumpur pada penampilan ketiga dan terakhirnya di SUKMA.

Beliau yang menceburi sukan boling padang sejak 2018 itu berkata sedia memikul tugas mencabar jika diberi peluang beraksi lebih daripada satu acara sekali gus membuka peluang lebih besar untuknya dipilih menyarung jersi negara pada masa depan.

"Sudah pasti kemenangan SUKMA yang lepas perlu saya pertahankan. Memandangkan kami telah berusaha dari awal, kami akan manfaatkan sebaiknya untuk membantu Perak melakar kejayaan di Sarawak nanti.

"SUKMA kali ini adalah yang terakhir bagi saya dan sekiranya diberikan peluang beraksi dalam tiga acara, saya akan berikan sepenuh komitmen untuk menggapai pingat emas selain ia akan menjadi tonik terbaik saya untuk berkemungkinan menyarung jersi pasukan negara," katanya kepada Bernama.

Pada SUKMA 2022, skuad boling padang Perak merangkul masing-masing dua pingat emas dan perak daripada sembilan acara dipertandingkan terdiri daripada empat acara lelaki, empat wanita dan satu kategori campuran.

Sementara itu, ketua jurulatih Sazeli Sani berkata skuad boling padang Perak yang diwakili 80 peratus muka baharu tidak akan menghampakan kontinjen negeri walaupun sasaran ditetapkan kali ini lebih rendah berbanding edisi sebelumnya.

Beliau berkata rekod pencapaian yang lepas turut membuktikan boling padang tidak pulang dengan kosong, sebaliknya konsisten menyumbang dua emas dan dua perak.

"Kali ini kita hanya dibarisi seorang sahaja atlet yang pernah beraksi di pentas SUKMA namun ia tidak bermakna atlet kita lemah tetapi saya yakin skuad kita akan menepati sasaran dan membawa pulang pingat kelak," katanya.

"Jika atlet kita tidak buat kesilapan ketika pertandingan, saya yakin mereka boleh memberikan bonus (emas) buat kita,” katanya.

Pasukan lelaki dibarisi Mohamad Ali Imran, Muhammad Nur Ilham Muhamad Nazri, Muhammad Danish Nasrullah Hasmrol Shah, Mohamed Naiim Syahmi Mohamed Azian, Muhammad Hakim Ali Hiari dan Firman Hassanei Shariati Abdul Halim. 

Sementara pasukan wanita terdiri daripada Siti Noor Aisyah Abdul Aziz, Nur Izzati Rosli, Anis Batrisyia Faisal, Adalia Dania Ahmad Fazila, Alysha Aqilah Azmir dan Arifah Haziqah Ahmad Hasmadi.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan