SUKAN > BERITA

PARIS 2024: PELUANG EMAS CERAH JIKA AARON-WOOI YIK MAMPU 'REDAH' HALANGAN SEPARUH AKHIR

24/07/2024 03:38 PM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Halangan sebenar beregu utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Sukan Olimpik Paris 2024 adalah apabila bakal berdepan tiga pasangan terbaik dunia di separuh akhir.

Legenda badminton negara Datuk Razif Sidek berkata kemenangan di separuh akhir sekali gus melangkah ke final, memberikan bayangan kemungkinan besar Malaysia akan menamatkan penantian pingat emas pertama di temasya berprestij itu.

Bagi Razif, beregu negara yang menghuni ranking keempat dunia itu tidak menghadapi masalah melepasi saingan peringkat Kumpulan A walaupun pilihan utama dari China Liang Wei Keng-Wang Chang dijangka menjadi halangan terbesar mereka.

“Pada pandangan saya, mereka pasangan tunggal yang boleh bawa pingat untuk negara. 

“Saya lihat laluan mereka ke suku akhir tiada masalah. Jika tiada halangan saya rasa Aaron-Wooi Yik boleh bawa balik emas namun ia bergantung kepada keputusan di separuh akhir,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Razif, jika juara dunia 2022 itu berjaya menempah tiket separuh akhir, selain Wei Keng-Wang Chang, dua lagi beregu di ranking utama dunia perlu 'diredah’ iaitu Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India dan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia) sebelum berada dalam pertarungan sebenar perburuan pingat emas.

Turunnya keempat-empat pasangan itu di gelanggang Porte de la Chapelle Arena, pastinya akan menghangatkan lagi aksi separuh akhir acara badminton di Paris 2024.

Berdasarkan rekod pasangan negara, Aaron-Wooi Yik pernah mencatat dua kemenangan berdepan wakil China, menang lapan daripada 11 pertemuan dengan Satwiksairaj-Chirag dan empat kemenangan daripada lapan perlawanan berdepan Fajar-Muhammad Rian.

Razif yang muncul wakil pertama negara meraih pingat di Sukan Olimpik bersama adiknya Datuk Jalani Sidek di Barcelona 1992 itu berkata selain lawan, tahap kecergasan juga menjadi penentuan perjalanan Aaron-Wooi Yik di Paris kelak.

“Dari segi cara permainan saya rasa tidak menjadi masalah cuma kekurangan mereka adalah kecergasan. Jika dapat mengekalkan tahap kecergasan yang tinggi, darjah keyakinan mereka juga akan meningkat,” katanya.

Aaron-Wooi Yik diundi dalam Kumpulan A bersama Wei Keng-Wang Chang, Ben Lane-Sean Vendy (England) dan Adam Dong-Nyl Yakura (Kanada).

Berdasarkan format perlawanan, hanya juara dan naib juara kumpulan layak ke suku akhir.

Sementara itu, Razif turut memuji strategi diatur Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mengadakan perlawanan simulasi selain mewujudkan suasana seolah-olah dalam gelanggang di Paris 2024, di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara.

Selain itu, BAM juga mengatur kem latihan fasa akhir selama seminggu di Lille, kira-kira 219 kilometer (km) dari Paris minggu lepas, sebelum atlet memasuki perkampungan sukan di ibu negara Perancis, pada Isnin.

Turut membawa cabaran Malaysia di Sukan Olimpik kali ini ialah beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah, beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta dua pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia (lelaki) dan Goh Jin Wei (wanita).

Sukan Olimpik Paris 2024 akan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan