TIPU BANTUAN EKASIH: BURUH DIHUKUM PENJARA 21 TAHUN 2 BULAN DAN 14 SEBATAN

24/07/2024 07:52 PM

IPOH, 24 Julai (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara berjumlah 21 tahun dua bulan dan 14 sebatan terhadap seorang buruh lelaki atas 13 pertuduhan melakukan penipuan berkaitan bantuan eKasih.

Muhammad Halmi Ismail, 49, yang didakwa di dua mahkamah, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Bagaimanapun, dia hanya perlu menjalani hukuman penjara selama empat tahun selepas Majistret Siti Nora Sharif dan Majistret S.Punitha memerintahkan ia berjalan serentak mulai tarikh sabitan iaitu hari ini.

Di hadapan Siti Nora, Muhammad Halmi berdepan empat pertuduhan iaitu menipu individu berusia lingkungan 65 tahun hingga 76 tahun sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang antara RM450 dan RM800.

Di hadapan Punitha, Muhammad Halmi berdepan sembilan pertuduhan iaitu menipu individu berusia lingkungan 60 tahun hingga 77 tahun sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang antara RM200 hingga RM900. 

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di tiga bank dan sembilan lokasi sekitar Ipoh antara 1 Jan hingga 22 April lepas. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Syaza Ariffin, Nuranisah Ismah dan Nurul Hidayu Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam Robert Gnanarajan, M. Kathan dan Dayang Nor Emilia Azman Shah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan