SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: Muhammad Hafiq Tekad Hadiah Pingat Untuk Melaka

29/07/2024 06:21 PM

MELAKA, 29 Julai (Bernama) -- Pelumba muda negara Muhammad Hafiq Mohd Jafri tekad untuk menghadiahkan kilauan pingat kepada negeri kelahirannya Melaka pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak, bulan depan.

Atlet berusia 19 tahun itu berkata walaupun acara lebuh raya dan kriterium yang bakal disertainya pada temasya itu bukan acara kegemaran, namun beliau mahu memberikan kayuhan terbaik sekali gus menaiki podium.

Tidak menetapkan sebarang warna pingat pada penampilan pertamanya di SUKMA itu, pemuda berasal dari Tanjung Bidara tersebut menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat dan melihat peluang cerah menerusi acara kriterium.

"Sebenarnya kepakaran saya ialah acara berbasikal trek tetapi di SUKMA tiada acara berkenaan...bagi saya saingan untuk lebuh raya dan kriterium itu seperti trek ketahanan. 

"Saya menganggap ini sebagai cabaran dan akan memastikan untuk memberikan yang terbaik pada perlumbaan itu nanti," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata antara pesaing rapatnya di SUKMA ialah rakan pasukan kebangsaan pelumba Terengganu Muhammad Afiq Iskandar Hasyim selain pelumba dari Johor.

Muhammad Hafiq sebelum ini memenangi dua perak pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 serta satu gangsa di Sukan Remaja Komanwel Trinbago 2023.

Acara berbasikal lebuh raya SUKMA Sarawak 2024 dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 17 Ogos di Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan