SUKAN > BERITA

Sukan Paralimpik: Jaguh Itali Ceccon Inspirasi Muhammad Imaan Aiman

02/08/2024 01:23 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Pemegang rekod dunia 100 meter (m) kuak lentang lelaki dari Itali, Thomas Ceccon menjadi inspirasi buat perenang para negara Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan untuk melakar kejayaan di pentas antarabangsa.

Muhammad Imaan Aiman yang beraksi bagi kategori S14 (kecacatan intelektual) berkata beliau sering menonton video gaya renangan juara Sukan Olimpik 2024 itu bagi mempelajari teknik yang boleh diaplikasikannya ketika membuat penampilan sulung pada Sukan Paralimpik 2024 di Paris, nanti.

"Saya banyak tengok video Ceccon dan belajar darinya. Ketika ini persiapan ke Sukan Paralimpik 2024 mencapai tahap 95 peratus dan baru saja sembuh dari kecederaan urat belakang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Biarpun bakal bersaing buat kali pertama di temasya sukan berprestij itu, atlet berusia 18 tahun itu tetap mengintai peluang untuk meraih kedudukan podium.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu pada masa sama menganggap juara bertahan dari Australia, Benjamin Hance sebagai pencabar dan perenang yang perlu diberikan perhatian pada saingan di Paris La Defense Arena itu.

  Muhammad Imaan Aiman sebelum ini mencipta sensasi pada temasya Sukan Para ASEAN 2023 di Phnom Penh, Kemboja, dengan membawa pulang empat pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

Sukan Paralimpik 2024 akan bermula pada 28 Ogos dan berakhir 8 Sept ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan