SUKAN > BERITA

Aifa, Aira Bersaing Di Pentas Akhir Kejohanan Skuasy Kebangsaan 2024

03/08/2024 06:30 PM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Pasangan adik-beradik Aifa Azman dan Aira Azman bakal bersaing satu sama lain dalam pentas akhir kategori wanita di Kejohanan Skuasy Kebangsaan 2024 di Kompleks Sukan Negara, Jalan Duta, esok.

Kedua-dua pemain itu berdepan sedikit masalah ketika beraksi dalam perlawanan separuh akhir hari ini yang menyaksikan Aifa menewaskan Ainaa Amani 13-11, 12-10, 2-11, 8-11, 11-6, manakala  penyandang juara Aira menundukkan Sehveetrraa Kumar 8-11, 11 -9, 11-5, 2-11, 11-3.

Aifa yang menyuarakan hasrat mengatasi adiknya sekali gus memenangi acara itu, namun mengakui tidak bersedia sepenuhnya dan bergantung kepada ketahanan mental untuk melakukan yang terbaik.

"Memang tidak bersedia untuk kejohanan ini kerana saya sakit akibat keracunan makanan minggu lepas. Selepas kejohanan berganda di Terengganu, saya hanya mempunyai masa seminggu untuk berehat  selain tidak banyak latihan sebelum kejohanan.

“Saya gembira kerana dapat bertarung pada set keempat, saya harap boleh menang tetapi hilang fokus kerana sejak enam bulan lepas saya bergelut dengan masalah lutut dan ranking saya terjejas. 

“Ia agak sukar tetapi saya cuba untuk tidak memikirkannya,” kata pemain berusia 22 tahun itu dalam rakaman audio yang dikongsi oleh Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) hari ini .

Sementara itu, adiknya Aira, 19, menyifatkan perlawanan separuh akhir itu lebih kepada persaingan mental berbanding fizikal kerana sering berlatih bersama membolehkan kedua-dua pemain mengetahui kekuatan dan kelemahan masing-masing. 

Aira menjangkakan perlawanan akhir esok bakal menjadi pertempuran sengit kerana bukan mudah untuk menentang kakaknya memandangkan mereka sentiasa berlatih bersama.

"Semasa perlawanan di Terbuka Australia pada Mac lepas saya menewaskannya 3-1 tetapi pada masa itu saya fikir dia belum 100 peratus bersedia. Untuk kejohanan ini kami berdua juga tidak bersedia 100 peratus tetapi berharap dapat mempamerkan perlawanan yang baik dan adil pada pentas akhir esok," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan