SUKAN > BERITA

Jadikan Paris 2024 inspirasi hasilkan artikel, foto menarik di SUKMA 2024 - Abdullah

08/08/2024 08:59 PM

KUCHING, 8 Ogos (Bernama) -- Kisah-kisah yang menonjolkan semangat kesukanan dan kemanusiaan sepanjang temasya Sukan Olimpik Paris 2024 diharap dapat memberi inspirasi kepada pengamal media menghasilkan artikel menarik semasa Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak bermula 17 Ogos ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata pengkisahan tentang atlet berjaya tetapi masih prihatin dan membantu atlet yang kecundang adalah antara peristiwa menarik dilaporkan semasa temasya sukan terbesar dunia itu. 

“Saya harap kita pamerkan pemberitaan selain daripada sukan dan komuniti, pamerkan foto atau cerita tentang semangat kesukanan warga muda, atlet daripada pelbagai negeri yang hadir di Bumi Kenyalang ini,” katanya dalam majlis Randau Bersama Media sempena SUKMA 2024 di sini hari ini.

Bagi menggalakkan wartawan dan juru foto dari Sarawak untuk menghasilkan karya menarik, beliau berkata UKAS akan menganjurkan pertandingan artikel dan foto terbaik semasa SUKMA 2024.

Beliau berkata kedua-dua pertandingan menawarkan hadiah wang tunai RM2,000 untuk johan, RM1,000 untuk tempat kedua dan RM500 ketiga. 

Dalam pada itu, Abdullah meminta jawatankuasa penganjur SUKMA 2024 menyediakan pengangkutan bagi memudahkan pergerakan pengamal media yang membuat liputan temasya dwitahunan kebangsaan itu.

Menurutnya, tidak semua pengamal media mempunyai pengangkutan dan berharap keperluan lain dapat disediakan bagi memudahkan tugasan pengamal media sepanjang temasya SUKMA 2024 yang akan membuka tirai pada 17 hingga 24 Ogos di sembilan bahagian di Sarawak.

Temasya kali ini melibatkan 37 jenis sukan dan 488 acara dengan penyertaan 12,619 atlet dan pegawai serta merupakan penganjuran kali ketiga oleh Sarawak selepas edisi 1990 dan 2016.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan