SUKAN > BERITA

Latihan Dua Tahun Tonik Terbaik Skuad Silambam Pulau Pinang Menjelang SUKMA

07/08/2024 11:54 AM

BUTTERWORTH, 7 Ogos (Bernama) -- Pasukan Silambam Pulau Pinang melakukan persiapan awal dengan berlatih sejak dua tahun lepas bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Jurulatih Persatuan Silambam Pulau Pinang P. Raveendran berkata Majlis Sukan Negeri juga memberikan komitmen yang tinggi dengan menyediakan latihan fizikal dan mental kepada 13 atlet yang bakal menggalas cabaran Pulau Mutiara dalam saingan empat acara Silambam pada temasya dwitahunan itu.

“Persatuan pula menyediakan latihan-latihan bagi acara yang dipertandingkan dalam SUKMA. Pasukan ini berlatih untuk lima atau enam hari seminggu sepanjang dua tahun ini,” katanya kepada Bernama ketika menjalani latihan di Padang Haji Ahmad Badawi di sini.

Meskipun tidak memiliki atlet kebangsaan dan hampir keseluruhannya muka baharu, beliau yakin kemampuan anak-anak buah­nya akan menyumbangkan pingat pada SUKMA tahun ini berikutan latihan dan pengalaman menyertai beberapa kejohanan termasuk Kejohanan Silambam Antarabangsa di Kuala Lumpur pada Mei lepas.

Raveendran yang juga Pengerusi Teknikal Silambam Antarabangsa berkata pasukan bimbingannya berada pada tahap terbaik, selain terdapat anak buahnya yang bakal berentap pada SUKMA tahun ini telah berjaya meraih beberapa pingat dalam kejohanan antarabangsa berkenaan.

Sementara itu, Penolong Jurulatih Persatuan Silambam Pulau Pinang R. Prakash berkata tujuh atlet wanita dan enam atlet lelaki akan mengambil bahagian dalam acara Syncronized Bare Hand, Thanithiramai Silambam Stick, Thanithiramai Kuthu Varisai dan Poruthal (Combat).

Bekas atlet kebangsaan dari 2006 hingga 2014 itu berkata beliau berpuas hati dengan latihan fizikal dan teknik yang diberikan bagi memantapkan kontinjen dalam sukan yang julung kali diiktiraf pada temasya dwitahunan itu.

“Setiap bulan kami telah mengadakan kem berpusat bagi atlet sebagai persediaan dan kami bakal menganjurkan kem terakhir khusus bagi kekuatan mental di Batu Feringghi dekat sini selama tiga hari sebelum terbang ke Sarawak. 

“Selain itu, kami juga sangat tegas terhadap disiplin atlet kami dengan melarang makan makanan ringan, asam dan minuman berais serta sentiasa mengingatkan mereka supaya lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya (ketika memandu) agar tidak mengalami sebarang kecederaan akibat perkara yang tidak diingini, lagi-lagi ketika menjelang SUKMA,” katanya.

Mengenai pihak lawan, beliau menjangkakan skuad Silambam dari Sarawak, Terengganu, Selangor dan Perak akan memberikan saingan sengit serta mampu menggugat peluang anak buahnya meraih pingat pada tahun ini.

Turgeshwaar Sella Muthu, 19, yang akan mengambil bahagian dalam acara Thanithiramai Kuthu Varisai dan Syncronized Bare Hand turut yakin dapat menyumbangkan pingat kerana telah menjalani latihan yang padat dan panjang selama ini.

Pelajar Politeknik Seberang Perai itu berkata beliau akan menggunakan pentas SUKMA tahun ini untuk mendapatkan pingat kerana penampilan sulungnya pada SUKMA edisi lepas menyaksikan tiada pingat ditawarkan bagi seni mempertahankan diri yang berasal dari India itu, susulan ia dikategorikan sebagai sukan demonstrasi.

“Persiapan pasukan sangat bagus kerana jurulatih telah menjelaskan mengenai peraturan, teknik yang mampu memperoleh mata, latihan mengekalkan stamina, ujian kecergasan dan juga kem bagi persediaan dari segi fizikal dan mental,” katanya.

Saingan Silambam yang menawarkan 14 pingat emas bagi 14 acara melibatkan wanita, lelaki dan campuran akan berlangsung di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching dari 20 hingga 22 Ogos.

Bagi acara Poruthal, setiap perlawanan akan mengandungi dua pusingan dan setiap pusingan akan berjalan selama 90 saat, manakala setiap persembahan bagi acara Thanithiramai Silambam Stick pula akan berlangsung selama dua minit.

Setiap persembahan Thanithiramai Kuthu Varisai (Bare Hand) diberikan masa selama 120 hingga150 saat sementara bagi acara Synchronized, setiap persembahan akan diadakan selama tiga minit. 

Secara keseluruhan, Pulau Pinang bakal mempertaruhkan 606 atlet menerusi 35 jenis sukan dalam misi mencapai sasaran 40 pingat emas pada SUKMA XXI Sarawak 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan