SUKAN > BERITA

SUKMA: Pengamal Media, Orang Ramai Berpeluang Menang Wang Tunai

09/08/2024 04:08 PM

KUCHING, 9 Ogos (Bernama) -- Orang ramai dan golongan belia berpeluang merebut hadiah wang tunai bernilai keseluruhan RM15,500 menerusi pertandingan fotografi dan videografi yang diadakan dari 12 hingga 24 Ogos ini sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pertandingan berkenaan meliputi tiga kategori iaitu ‘fotografi terbuka’, ‘fotografi belia’ serta ‘videografi’ yang melibatkan belia terdiri pelajar sekolah serta institut pengajian tinggi. 

“Untuk kategori fotografi terbuka, pemenang akan menerima wang tunai RM3,000, tempat kedua RM2,000, ketiga RM1,000 dan lima hadiah sagu hati bernilai RM200 setiap seorang.

“Bagi pemenang kategori belia dan videografi, masing-masing akan menerima RM2,000 bagi johan, tempat kedua RM1,000, manakala ketiga RM750 dan lima hadiah sagu hati bernilai RM100 setiap seorang,” katanya dalam Majlis Pelancaran Aplikasi SUKMA 2024 di sini hari ini. 

Pendaftaran percuma dan secara dalam talian di https://forms.gle/GVqC3y9cXXvSuzfR7. Peserta perlu memuat naik video atau gambar terlebih dahulu ke akaun media sosial Facebook dan TikTok berserta tanda pagar #SUKMASARAWAK2024.

Abdul Karim berkata pengamal media cetak dan dalam talian yang bertugas sepanjang penganjuran temasya itu juga berpeluang memenangi RM100 sehari menerusi pertandingan 'Picture & Article Of the Day' yang berlangsung dari 16 hingga 25 Ogos.

“Gambar dan artikel terbaik yang dipilih secara harian ini akan dipaparkan di ruangan khas di Bilik Media Utama di Pusat Akuatik Pandelela Rinong yang akan kita lancarkan esok,” katanya sambil menambah penganjuran pertandingan melibatkan kerjasama Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) Sarawak.

Terma dan syarat pertandingan boleh didapati dengan mengimbas kod QR di laman sesawang rasmi SUKMA 2024 di www.sukmasarawak2024.my atau di Facebook rasmi UKAS.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA Datuk Hii Chang Kee dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak Awang Putra Yusrie.

SUKMA 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Temasya sukan yang diperkenalkan pada 1986 itu telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan