SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: 10,000m, 20,000m Jalan Kaki Prospek Pingat Emas WP

09/08/2024 06:04 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Skuad olahraga Wilayah Persekutuan (WP) menyasarkan tiga pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak yang akan membuka tirai 17 Ogos ini.

Pengurus pasukan G. Raman berkata tiga prospek pingat emas itu disasarkan menerusi acara 10,000 meter (m) jalan kaki lelaki dan wanita serta 20,000m jalan kaki lelaki.

Beliau berkata pasukan negeri yang dikenali sebagai WiPers itu turut menyasarkan dua lagi pingat tanpa mengira warna bagi acara lari jarak sederhana 800m dan 1500m. 

“Bagi acara 10,000m dan 20,000m, atlet yang bertanding masing-masing menampilkan prestasi memberangsangkan pada Kejohanan Olahraga Siri Super 1 di Johor dan Kejohanan Olahraga Terbuka Perak Super Series II di Ipoh pada Mei dan Kejohanan Terbuka Malaysia di Kuantan, Pahang pada Jun.

“Statistik bagi atlet-atlet yang beraksi di SUKMA kali ini juga menunjukkan atlet yang disasarkan pingat emas ini berada di kedudukan terbaik,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Beliau berkata acara 10,000m wanita akan diwakili Kok Hui Ying manakala kedua-dua acara 10,000m dan 20,000m lelaki diwakili Khor Jhing Hong. 

Pada SUKMA edisi 2022 di sini, skuad olahraga WP membawa pulang tiga pingat emas menerusi acara heptatlon, 100m lari berpagar dan 4×400m.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan