SUKAN > BERITA

Kemunculan Faisal Halim Bakar Semangat Selangor Hadapi JDT - Razman

11/08/2024 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Kemunculan semula pemain sayap Mohamad faisal Abdul Halim atau Faisal Halim bersama pasukan menjadi tonik berharga buat Selangor FC menjelang aksi final Piala FA berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim pada 24 Ogos ini.

Bekas pemain pertahanan Selangor FC Razman Roslan berkata kemunculan semula Faisal telah membakar semangat pemain untuk melakar keputusan positif dalam dua perlawanan terakhir termasuk menyingkirkan Terengganu FC dengan agregat 6-4 pada separuh akhir kedua Piala FA, pada 3 Ogos lepas.

"Bagi saya Faisal Halim merupakan pemain yang mempunyai karakter tersendiri dan kehadirannya boleh beri inspirasi kepada pasukan (menentang JDT di Piala FA).

"Peluang masih 50-50 namun JDT masih lagi pasukan pilihan sebab mereka memiliki barisan terbaik dan saya merasakan aksi menarik bakal disajikan kedua-dua pasukan di final," katanya kepada Bernama selepas klinik futsal pada progam Kita-untuk-Kita (K2K) Juara di sini hari ini.

Pada masa sama, Razman mengakui terkejut dengan penyenaraian semula pemain berusia 26 tahun itu ke dalam skuad Gergasi Merah itu dalam masa singkat, setelah mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, pada Mei lepas.

Sebagai pemerhati bola sepak, Razman tidak menyangka bahawa Faisal mampu kembali beraksi tiga bulan selepas insiden malang itu.

"Saya tidak jangka secepat ini, mungkin enam hingga tujuh bulan paling awal baginya (kembali beraksi) malah ada juga kata sukar baginya kembali dalam bola sepak. Tetapi hanya dalam masa tiga bulan beliau kembali bermain bukan dalam perlawanan persahabatan namun aksi liga berintensiti tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, bekas pemain Pahang dan Melaka United itu berpendapat masih terlalu awal untuk Faisal yang lebih mesra disapa 'Mickey’ kembali menyarung jersi pasukan kebangsaan.

Menurut Razman, Faisal perlu kembali ke tahap maksimum termasuk membuktikan sentuhannya dengan menjaringkan gol bersama Selangor yang mampu membina keyakinan baginya sebelum dipanggil semula menyertai Harimau Malaya.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu membuat kemunculan sulung di khalayak ramai selepas insiden simbahan asid pada 16 Jun lepas dalam perlawanan Piala FA antara Selangor FC menentang Negeri Sembilan FC.

Beliau kemudian kembali disenaraikan ke dalam skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil buat kali pertama dengan berada di bangku simpanan pada aksi kedua separuh akhir Piala FA menentang Terengganu.

Semalam, Faisal dimasukkan pada 10 minit terakhir sebelum perlawanan menentang Kelantan Darul Naim FC tamat yang menyaksikan pasukan Gergasi Merah menang 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan