SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: Sukan Tinju Dijangka Dapat Sambutan Hangat Di Sri Aman

11/08/2024 04:29 PM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

SRI AMAN, 11 Ogos (Bernama) -- Tinju dilihat sebagai acara sukan yang bakal meraih sambutan hangat pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 bermula 17 hingga 24 Ogos ini, kata Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) Datuk Mohamad Iruan Zulkefli.

Hal itu katanya kerana pemilihan lokasi yang tepat iaitu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman yang dipenuhi penonton pada Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak tahun lepas.

Mohamad Iruan berkata sempena SUKMA edisi kali ini, venue itu berwajah baharu susulan kerja-kerja mengubah suai yang dijalankan, selain turut dilengkapi gelanggang baharu yang telah siap dipasang dan diuji oleh skuad tinju Sarawak, semalam.

“Tempat ini (Sri Aman) dipilih kerana penyokong dan peminat di Sri Aman amat hebat dan ramai, pengalaman kita yang pernah menganjurkan Terbuka Sarawak, penonton hampir 3,000 ke 4,000 yang mana stadium penuh.

“Saya dimaklumkan persiapan berjalan lancar, gelanggang (ring) diberikan peruntukan untuk beli baharu dan Persatuan Tinju Sarawak memilih FBT yang biasa digunakan di Thailand. Dari segi penyertaan kita ada 94 atlet untuk 12 kategori dan buat pertama kali acara wanita diadakan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Bagi acara wanita, sebanyak tiga kategori dipertandingkan melibatkan 18 atlet.

Sementara itu, beliau berkata PTM berharap SUKMA kali ini dapat melahirkan bakat-bakat baharu untuk digilap bagi membawa cabaran Malaysia pada Sukan SEA 2025 di Thailand dan 2027 di Malaysia.

“Saya dimaklumkan persiapan negeri-negeri (bertanding) ada yang berlatih di luar negara, kebanyakan di Indonesia dan Thailand dan kita harapkan persembahan atlet pada tahap yang tinggi kerana mereka pun sudah diberikan pendedahan dan pengalaman menerusi siri kejohanan yang kita anjurkan,” katanya.

Sebanyak 15 pingat emas menjadi rebutan dalam sukan tinju yang akan berlangsung di sini bermula 16 hingga 23 Ogos.

Sri Aman juga dikatakan sinonim dengan sukan tinju apabila melahirkan bintang sensasi tinju Sarawak Daeloniel Mcdelon Bong yang terkenal dengan panggilan ‘Kilat Boy’.

SUKMA 2024 melibatkan sembilan bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Temasya kali ini menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 (wanita) dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain dijangka menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Bumi Kenyalang sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan