SUKAN > BERITA

Acara bola sepak wanita cetus minat, wajar dijadikan acara tetap edisi SUKMA seterusnya

12/08/2024 09:43 PM

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin

KUCHING, 12 Ogos (Bernama) -- Acara bola sepak wanita yang julung kali dipertandingkan di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 menjadi pencetus untuk menarik penglibatan lebih ramai golongan wanita dalam sukan itu di seluruh negara.

Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman berkata bola sepak wanita wajar dijadikan acara tetap di setiap edisi SUKMA, sekali gus sebagai pentas menggilap bakat pemain berpotensi membarisi skuad kebangsaan suatu hari nanti. 

“Kita harap penglibatan pemain bola sepak wanita tidak hanya tamat di peringkat SUKMA sahaja sebab kita mahu lihat hasil serta kesan positif daripada pertandingan sebegini, jadi usaha itu perlu berterusan kerana cetusan minat dalam kalangan pemain sudah ada.

“Ini platform tepat untuk mereka timba pengalaman dan kita perlu lebih banyak penganjuran  pertandingan supaya kita kembangkan lagi bakat bola sepak dalam kalangan wanita…jadi SUKMA ini dilihat sebagai pentas terbaik bagi kita mula melakukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas mempengerusikan Taklimat Pengurusan Pasukan SUKMA 2024 Acara Bola Sepak Wanita di Bilik Mesyuarat Sukan Menembak, di sini hari ini.

Abang Zulkarnain berkata FAS antara pihak yang mengemukakan rayuan kepada Majlis Sukan Negeri dan Perbadanan Sukan Sarawak agar acara ini dipertandingkan di temasya dwitahunan itu yang memasuki edisi ke-21. 

“Kita percaya di negara ini, terutamanya di Sarawak, bola sepak wanita mempunyai masa depan yang cukup cerah sekiranya diberi peluang, baik dari segi pertandingan mahupun program pembangunan.

“Di Sarawak, pertandingan bola sepak wanita belum rancak digiatkan kerana permainan lebih kepada aktiviti sosial dan bukan dilihat sebagai karier atau aktiviti persaingan, jadi hasil daripada SUKMA 2024, kita mahu kelab bola sepak tempatan menerokai peluang membentuk pasukan wanita juga,” katanya. 

Turut senada, pengurus pasukan bola sepak wanita Sarawak Francis Uling Majoi berpendapat permainan bola sepak dalam kalangan wanita Malaysia tidak begitu didedahkan ekoran peluang yang tidak banyak bagi golongan itu menceburi sukan berkenaan. 

“Untuk SUKMA kita mahu lihat melangkaui SUKMA dan supaya tahap pemain wanita berada setaraf dengan Sukan SEA, selain menjadikan sukan ini sebagai karier dan bukan sekadar main bola secara suka-suka.

“Kita jarang dengar wanita dalam sukan ini di Malaysia, jadi mengapa kita tidak menonjolkan pasukan wanita sebagaimana kita menonjolkan pasukan lelaki dalam sukan bola sepak dengan harapan lebih ramai wanita tampil untuk bermain bola selepas SUKMA ini,” katanya. 

Pertandingan bola sepak wanita bermula esok sehingga 22 Ogos di Kuching membabitkan dua gelanggang iaitu Stadium Negeri dan Padang D, Petra Jaya. 

Sempena SUKMA 2024 di Sarawak yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini, Bernama memperkenalkan laman web khas sukma.bernama.com yang menyajikan berita berkaitan perkembangan semasa kontinjen negeri dan pencapaian mahupun cerita-cerita menarik atlet terlibat dalam temasya sukan dwitahunan itu.

Laman web dwibahasa itu juga akan memaparkan keputusan terkini selain galeri foto, video, carta pungutan pingat dan fakta menarik penganjuran SUKMA yang memasuki edisi ke-21 kali ini.

SUKMA 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan