SUKAN > BERITA

Satria, Satrina Barangan 'Panas' Di SUKMA 2024

14/08/2024 08:06 PM

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin

KUCHING, 14 Ogos (Bernama) -- Maskot Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, Satria dan Satrina yang menjadi antara hampir 100 jenis barangan khas dijual sebagai cenderahati sempena temasya sukan itu, mula mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.

Maskot menampilkan sepasang burung kenyalang atau enggang itu dijual dalam bentuk patung, kemeja-T, rantai kunci dan barangan lain yang dihasilkan syarikat tempatan serta rakan rasmi SUKMA 2024, Keris Sakti Group.

Ketua Pegawai Eksekutif Keris Sakti Sahrul Izam Ahmad berkata rekaan kemeja-T dengan imej Satria dan Satrina bagi kesemua 37 jenis sukan yang dipertandingkan, mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli.

“Kita juga keluarkan tuala muka, jaket, topi, gelas dan alat tulis dengan tema dan logo SUKMA, kita tawarkan harga yang menarik untuk kesemua barangan rasmi ini seperti yang dipersetujui oleh pihak sekretariat SUKMA,” katanya kepada Bernama.

Selain membuat tempahan secara dalam talian menerusi platform Facebook dan WhatsApp atau pembelian terus di ibu pejabat Keris Sakti di Matang dekat sini, orang ramai boleh mendapatkan barangan berkenaan di Karnival SUKMA yang diadakan di 15 venue sukan di sembilan bahagian Sarawak.

Karnival SUKMA yang berlangsung hingga 24 Ogos ini antaranya dianjurkan di Dataran Perayaan Petra Jaya, Pusat Konvensyen Serian, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, Stadium Bintulu, Stadium Miri dan Stadium Mukah. 

Mempunyai cawangan di Satok, Kuching serta Shah Alam, Selangor, Sahrul Izam yang juga pemilik syarikat percetakan dan reka bentuk grafik itu berkata pihaknya telah menerima lebih 2,000 tempahan secara dalam talian melibatkan pelanggan dari Sarawak sahaja.

“Ini belum termasuk pelanggan dari Semenanjung dan Sabah kerana kebanyakan mereka membeli secara terus melibatkan pemain negeri dan sebagainya,” katanya yang mempunyai hampir 80 pekerja di kesemua cawangan dan kilang Keris Sakti.

Anak jati Kuching itu berkata lima peratus daripada hasil pembelian bagi kesemua barangan SUKMA 2024 akan disalurkan kepada kerajaan negeri sebagai tanda kerjasama strategik.

SUKMA 2024 yang berlangsung secara rasmi dari 17 hingga 24 Ogos ini dianjurkan di sembilan bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Ia menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 (wanita) dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain dijangka menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

Ikuti liputan komprehensif menerusi laman web khas sukma.bernama.com yang menyajikan berita berkaitan perkembangan semasa kontinjen negeri dan pencapaian mahupun cerita-cerita menarik atlet terlibat dalam temasya sukan dwitahunan itu.

Laman web dwibahasa itu juga akan memaparkan keputusan terkini selain galeri foto, video, carta pungutan pingat dan fakta menarik penganjuran SUKMA kali ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan