SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: Perak pasukan pertama mara ke suku akhir bola sepak lelaki

14/08/2024 09:39 PM

KUCHING, 14 Ogos (Bernama) -- Juara empat kali Perak muncul pasukan pertama mara ke pusingan suku akhir saingan bola sepak lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas menewaskan Pahang 1-0 pada aksi Kumpulan D di Padang Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM).

Ia merupakan kemenangan kedua Perak setelah mengutip tiga mata pertama dengan menundukkan tuan rumah Sarawak 1-0 pada aksi pembukaan kumpulan, Isnin lepas.

Pada pertembungan itu, pemain tengah Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil sekali lagi muncul wira Perak apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-22 selepas turut menjaringkan gol kemenangan ketika berdepan Sarawak.

Perak akan melengkapkan aksi kumpulan dengan menentang Wilayah Persekutuan di Stadium Mukah Jumaat ini.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan D, hasrat tuan rumah Sarawak yang dibimbing Awangku Shahbuddin untuk bangkit mencari tiga mata tidak kesampaian selepasa seri 1-1 dengan Wilayah Persekutuan di Stadium Mukah.

Wilayah Persekutuan kendalian Mohd Nidzam Adzka Yusoff terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Shairul Aikal Mohamad Nasir pada minit ke-28 sebelum Sarawak menyamakan kedudukan pada minit ke-59 hasil penyudah pemain gantian Mohamad Faris Mohd Faidillah.

Dalam pada itu, Johor mengalami kekalahan pertama selepas tunduk 1-2 kepada Sabah pada aksi Kumpulan B di Stadium Zaidi Adruce, Sibu.

Pada masa sama di Sibu, Negeri Sembilan menghidupkan peluang ke pusingan kalah mati apabila bangkit daripada kekalahan pertama di tangan Selangor dengan menumpaskan Kelantan 2-1 pada pertembungan Kumpulan A di Stadium Azman Hashim.

Sementara itu, Kedah yang baru memulakan kempennya meranapkan impian Melaka untuk meraih kemenangan di Stadium Bintulu selepas aksi Kumpulan C itu berkesudahan 1-1.

Melaka sebelum ini seri tanpa jaringan menentang Pulau Pinang pada aksi pembukaan kumpulan Isnin lepas.

Hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan melangkah ke pusingan suku akhir.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan