SUKAN > BERITA

Bumi Kenyalang Sekali Lagi Jadi 'Medan Pertarungan' Atlet Muda

15/08/2024 11:56 AM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUCHING, 15 Ogos (Bernama) -- Sarawak yang kaya dengan khazanah alam dan kepelbagaian budaya sekali lagi menjadi ‘medan pertarungan’ atlet muda di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Temasya yang menjadi titik permulaan terbaik atlet muda berusia bawah 21 tahun itu berlangsung di sembilan bahagian melibatkan Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Inilah masanya untuk atlet mengintai peluang untuk diserap ke dalam program pelapis seterusnya bergelar atlet kebangsaan yang mampu melonjakkan nama negara di persada antarabangsa terutama menoktahkan penantian Malaysia meraih pingat emas pertama Sukan Olimpik.

Kehadiran lebih 12,000 atlet dari seluruh Malaysia termasuk Brunei sebagai kontinjen jemputan, pastinya memberi lebih ruang kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) khususnya Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengenal pasti bakat baharu sukan negara.

Walaupun SUKMA edisi ke-21 akan membuka tirai secara rasmi Sabtu ini, perjuangan atlet sudah bermula sejak Isnin apabila beberapa acara seperti berbasikal lebuh raya, bola sepak, kriket, wushu dan tenpin boling telah berlangsung.

Temasya kali ini menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 (wanita) dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita.

Sejumlah 25 jenis sukan dipertandingkan di Kuching, manakala Miri bakal menjadi venue pelayaran, ragbi, lawan pedang, karate, pencak silat dan sofbol selain Sibu, Mukah dan Bintulu menjadi gelanggang bagi acara ibu segala pingat - bola sepak lelaki.

Sri Aman pula menjadi tumpuan peminat sukan tinju manakala Betong venue bagi sukan angkat berat.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

Kontinjen Bumi Kenyalang muncul juara keseluruhan buat kali pertama pada 1990 diikuti edisi 1992 di Johor dan 1994 di Perak.

Kontinjen Sarawak dengan semangat 'Agi Idup Agi Ngelaban’ menyasarkan sekurang-kurangnya 70 pingat emas dalam misi memburu gelaran juara keseluruhan buat kali keempat.

Namun, tumpuan perlu juga diberikan kepada kontinjen lain antaranya Johor yang bertandang ke sini dengan semangat untuk mempertahankan kedudukan selaku juara bertahan.

Fokus turut terarah kepada kontinjen Selangor yang berharap dapat mengulangi kecemerlangan selaku juara keseluruhan di bumi bertuah ini pada edisi 2016 yang menjadi gelaran kesembilan mereka selepas edisi 1988, 1996, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006 dan 2013.

Selain Selangor, turut mengintai peluang ialah kontinjen Terengganu yang pernah muncul juara keseluruhan temasya pada 2008, 2010, 2011, 2012 dan 2018.

Sebagai tuan rumah, kerajaan negeri membelanjakan hampir RM300 juta bagi kerja-kerja mengubah suai dan naik taraf keseluruhan venue pertandingan dan logistik sekali gus dilihat sebagai isyarat jelas komitmen Sarawak yang telah menawarkan beberapa venue bagi acara Sukan SEA 2027.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dijemput menjadi tetamu khas pada majlis perasmian SUKMA 2024 di Stadium Sarawak, Sabtu ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan