Ibu Dan Anak Maut Dalam Perjalanan Ke Sekolah

15/08/2024 01:44 PM

IPOH, 15 Ogos (Bernama) -- Seorang wanita dan anak perempuannya maut dalam perjalanan ke sekolah selepas kereta dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis MPV di Jalan Kuala Kangsar-Manong, Kuala Kangsar pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarozi Nor Ahmad berkata kejadian kira-kira 7 pagi itu turut membabitkan seorang lagi kanak-kanak perempuan yang duduk di bahagian tempat duduk belakang dan hanya mengalami cedera ringan.

“Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Honda City berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis MPV Toyota Vellfire yang membabitkan tiga orang mangsa yang menaiki kereta Honda City.

"Seorang wanita dewasa (pemandu) dan seorang kanak-kanak perempuan yang tersepit di tempat duduk penumpang bahagian hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pemandu Toyota Vellfire tidak mengalami sebarang kecederaan dan anggota bomba melakukan kerja-kerja penyelamatan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. 

“Mangsa yang cedera telah diserahkan pada pihak KKM untuk menerima rawatan manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Muhammad Khalid Mohd Idris itu tamat pada 9.10 pagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan