SUKAN > BERITA

Wan Muhammad Zarif Tepati Ramalan Raih Emas Tenpin Boling

15/08/2024 11:37 PM

KUCHING, 15 Ogos (Bernama) -- Atlet tenpin boling remaja kebangsaan Wan Muhammad Zarif Ikram Wan Mazlan menepati ramalan apabila merangkul pingat emas acara perseorangan lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.

Atlet berusia 17 tahun yang mewakili Terengganu itu mempamerkan aksi konsisten sepanjang enam set permainan di Megalanes Sarawak di sini dengan melakukan keseluruhan 1,375 jatuhan pin.

Shaqeem Izwan Teh Shahrul Hafiz Teh dari Wilayah Persekutuan meraih perak selepas mencatatkan 1,361 jatuhan pin manakala wakil Sabah, Emmanuel Fo melakukan 1,342 jatuhan pin untuk gangsa.

Kategori wanita pula menyaksikan atlet tuan rumah Nur Hazirah Ramli mendominasi saingan selepas melakukan 1,261 jatuhan pin.

Atlet Selangor, Adania Mohd Redzwan dan Haiffa Hazlan dari Wilayah Persekutuan masing-masing memenangi perak dan gangsa selepas mencatatkan 1,254 dan 1,239 jatuhan pin.

Sukan tenpin boling yang membuka tirai hari ini menawarkan 11 pingat emas secara keseluruhan dan akan diteruskan dengan saingan beregu lelaki dan wanita, esok. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan