BERITA TERGEMPAR   Pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional - PM Anwar | PM Anwar umum pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi | 
 SUKAN > BERITA

Irama ‘Seribu Rentak’, Tarian ‘selamat Datang’ Sambut Ketibaan Kontinjen SUKMA 2024

16/08/2024 10:41 AM

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin

KUCHING, 16 Ogos (Bernama) -- Suasana di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sejak 10 Ogos lepas meriah dengan alunan irama ‘seribu rentak’ dan tarian ‘Selamat Datang’ bagi menerima kedatangan kontinjen negeri ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Senyuman manis terukir di wajah 14 petugas Majlis Seni Sarawak (MSS) yang mengenakan busana tradisional pelbagai etnik di Sarawak menambah warna-warni di balai ketibaan selain menceriakan ‘mood’  atlet muda yang datang dengan matlamat mencipta nama di Bumi Kenyalang. 

Jeman Lidup, 47, antara individu yang setia berkampung di balai ketibaan seawal 7.30 pagi hingga penerbangan terakhir ke Kuching demi mengalu-alukan kehadiran semua yang terlibat dan pada masa sama menonjolkan keunikan budaya di Sarawak.

“Ada ketikanya penerbangan mereka mengalami kelewatan... 12.30 tengah malam hingga 1 pagi.  Namun kami setia menunggu mereka dan akan bertugas semula pada 7.30 pagi esoknya.

“Sebagai tuan rumah SUKMA, ini menjadi peluang untuk kita pamerkan sisi kepelbagaian budaya di Sarawak dan rasa penat kami itu hilang apabila kontinjen turut menari bersama-sama,” katanya ketika ditemui di balai ketibaan LTAK, di sini.

Alunan ‘rentak seribu’ merupakan irama yang dihasilkan daripada beberapa alat muzik tradisional Sarawak seperti beduk, engkeromong, gong dan sape.

Jeman yang berketurunan Bidayuh dari Lundu tidak keseorangan kerana ditemani anak sulungnya Melanie Joyce, 22, yang bangga menggayakan pakaian tradisional masyarakat Orang Ulu.

“Setiap tiga hari kita akan bertukar pakaian seperti baju tradisional masyarakat Iban, Bidayuh, Melanau, Melayu dan Orang Ulu. 

“Manisnya pengalaman sebegini apabila kita berjumpa atlet negeri yang ada juga atlet kebangsaan dan berswafoto atau bergambar bersama. Jadi kita rapatkan hubungan sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

SUKMA 2024 akan membuka tirai secara rasmi, esok dengan upacara pembukaan berlangsung di Stadium Negeri Sarawak, Petra Jaya di sini.

Edisi ke-21 ini menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 wanita dan 35 acara campuran membabitkan lebih 12,000 atlet dari seluruh Malaysia termasuk Brunei sebagai kontinjen jemputan.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan