SUKAN > BERITA

Pingat Emas Tebus Kecewa Khairunnisa Aleeya

16/08/2024 03:11 PM

KUCHING, 16 Ogos (Bernama) -- Kecewa acara berbasikal trek digugurkan, Khairunnisa Aleeya Saifulnizam bangkit menebus kekecewaan dengan meraih pingat emas acara berbasikal lebuh raya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.

Pemegang pingat emas acara 4 kilometer (km) kejar-mengejar berpasukan wanita SUKMA 2022 berkata selepas mengetahui acara trek tidak dipertandingkan, beliau dan jurulatih beralih tumpuan kepada acara lebuh raya walaupun sedar satu pingat emas kem berbasikal Johor sudah ‘lebur’.

“Hasil bantuan dan sokongan pasukan, saya tidak ambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan acara lebuh raya dan pada perlumbaan hari ini, saya berjanji untuk bermati-matian dapatkan emas demi balas budi pasukan, demi Johor,” katanya.

Pingat perak acara berkenaan dimenangi pelumba Kedah, Nur Fitrah Shaari dengan catatan masa 3:34:34s manakala pelumba kebangsaan Nyo Ci Hui yang mewakili Perak berpuas hati membawa pulang pingat gangsa dengan 3:34.34s.

Acara berpasukan pula menyaksikan Kedah menerusi Nur Fitrah Shaari, Nurul Nabilah Mohd Asri P. Phi Kun dan Zahra Afifah Zamri membawa pulang pingat emas dengan catatan masa keseluruhan 10:43.43s.

Sementara itu, ketua jurulatih berbasikal SUKMA Kedah Noor Alfizar Othman berkata keputusan pasukan itu untuk ‘berkampung’ sejak dua minggu lepas di Sarawak, ternyata membantu pelumba untuk menyesuaikan diri dengan laluan perlumbaan hari ini.

“Pelumba kita dah kuasai laluan, dah hafal setiap laluan bukit, lurus mahupun selekoh. Jadi mudah untuk kita laksanakan strategi pasukan yang telah diatur untuk pastikan kita dapat tamat dalam kedudukan yang terbaik bagi meraih emas berpasukan,” katanya.

Setakat ini, kem berbasikal Kedah telah meraih masing-masing satu emas, perak dan gangsa.

“Ini momentum baik dan kita harap dapat tuai lebih banyak emas selepas ini terutamanya dalam acara MTB (basikal bukit),” katanya.

Pingat perak acara lepas beramai-ramai dimenangi pasukan Johor yang mengumpul 10:43:43s diikuti Terengganu memenangi gangsa dengan 10:43:43s.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan