SUKAN > BERITA

Stephanie Bangga Mampu Hadiahkan Tiga Emas Buat Sarawak

16/08/2024 03:32 PM

KUCHING, 16 Ogos (Bernama) -- Atlet wushu Sarawak Stephanie Ngu Chai Ern bangga menjadi penyumbang pingat emas terbanyak kontinjen tuan rumah setakat ini pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas menyambar emas ketiga peribadi.

Kejayaan itu ibarat membalas dendam tiga edisi sebelum ini yang menyaksikan beliau terpaksa berpuas hati dengan dua pingat gangsa pada edisi 2016, serta masing-masing satu perak dan satu gangsa pada 2018 dan 2022.

“Saya rasa bangga kerana menjadi individu menyumbang tiga emas buat Sarawak, semasa pertandingan saya hanya mahu membuat yang terbaik.

“Selama ini saya hanya terus berlatih dan bertahan hingga SUKMA terakhir saya,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Atlet berusia 20 tahun itu berharap kejayaannya mampu membakar semangat kontinjen Sarawak, selain menjadi pemangkin semangat kepada barisan atlet wushu muda negeri itu.

Terdahulu, Stephanie merangkul emas ketiganya apabila mengungguli saingan final qiangshu wanita dengan kutipan mata tertinggi 9.606 pada aksi berlangsung di Dewan Wushu SSC hari ini.

Semalam, beliau memenangi emas keduanya dalam acara jianshu selepas menghadiahkan Sarawak emas sulung menerusi acara changquan pada Rabu lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan