AM > BERITA

MPFN Luluskan Garis Panduan Aktiviti Perlombongan REE

16/08/2024 05:58 PM

PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) telah meluluskan Garis Panduan Perancangan untuk Aktiviti Perlombongan Unsur Nadir Bumi (REE) bagi memastikan aktiviti itu dijalankan secara lestari dan mesra alam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) merangka garis panduan itu sebagai instrumen memudahkan dan menyokong pengurusan alam sekitar yang mampan dalam menjalankan aktiviti perlombongan.

"REE ialah komponen penting dalam cip dan produk teknologi tinggi. Penting untuk mengawal selia aktiviti perlombongan bagi melindungi alam sekitar dan mencegah penerokaan haram yang boleh menyebabkan kerosakan alam sekitar dan kehilangan hasil negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Jabatan Mineral dan Geosains, Malaysia mempunyai 16.1 juta tan mineral nadir bumi dengan nilai pasaran sebanyak RM809.6 bilion.

Nga berkata garis panduan itu melarang perlombongan nadir bumi di hutan simpan dan mengenakan larangan eksport bahan nadir bumi mentah serta pemetaan kawasan mineral REE yang berpotensi ke dalam Rancangan Pembangunan dengan menetapkan zon yang dibenarkan, dibenarkan secara bersyarat dan dilarang untuk aktiviti perlombongan.

Garis panduan itu turut menggariskan keperluan untuk kebenaran merancang berkaitan aktiviti perlombongan REE, mencadangkan agar syarikat-syarikat perlu mendapatkan kebenaran merancang sebelum atau semasa penyerahan skim pengendalian melombong (OMS) mereka. 

"PLANMalaysia akan menyediakan perkhidmatan nasihat dari aspekf perancangan ruang, ekonomi, sosial dan alam sekitar untuk memastikan setiap operasi perlombongan dijalankan dengan terancang dan mampan.

"Menerusi garis panduan ini, kami menyasarkan untuk meningkatkan hasil negeri, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menjana prospek ekonomi baharu bagi mereka yang terlibat dalam industri hiliran," kata Nga.

MPFN mengadakan mesyuarat ke-45 pada Khamis yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan