SUKAN > BERITA

Orang Ramai Diingatkan Waspada Panggilan Menyamar Pegawai MCMC

16/08/2024 10:58 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan orang ramai agar berwaspada dengan panggilan individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai MCMC.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai urusan berkaitan MCMC, lazimnya melalui saluran rasmi seperti e-mel, laman sesawang MCMC atau platform media sosial MCMC.

MCMC juga tidak akan menggunakan nama individu, nombor telefon bimbit persendirian mahupun penggunaan bahasa yang meragukan, serta tidak meminta butiran dan maklumat peribadi individu.

“Bagi tempoh antara 1 Jan sehingga 31 Julai, sejumlah 3,201 aduan serta pertanyaan mengenai panggilan individu menyamar sebagai pegawai MCMC telah diterima. Jika maklumat yang diberikan pengadu mencukupi, kes akan dibawa ke Polis Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut di bawah Kanun Keseksaan,” menurut kenyataan itu.

MCMC dalam kenyataan sama memaklumkan, sebuah akhbar tempatan semalam melaporkan kes seorang pesara kerajaan yang kerugian sebanyak RM276,900 selepas dimaklumkan melalui panggilan telefon yang beliau terlibat dengan kegiatan kes pengubahan wang haram.

“Mangsa diarahkan untuk melakukan transaksi melalui mesin juruwang automatik ke enam akaun bank berlainan antara 16 hingga 29 Julai.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dan tidak terpedaya dengan panggilan melibatkan pihak yang tidak dikenali. Sekatan ke atas nombor telefon mencurigakan atau menggunakan perisian dan aplikasi, bagi menyekat kemasukan panggilan atau sistem pesanan ringkas juga boleh dilakukan,” menurut kenyataan itu.

Sebarang maklumat atau aduan sekiranya menerima panggilan mencurigakan, boleh dilaporkan kepada pihak PDRM atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

Kewaspadaan orang ramai adalah penting dalam melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan, kecurian maklumat peribadi serta pelbagai bentuk jenayah yang lain.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan